Aidil Menghadiahkan Piala Malaysia Untuk Penyokong

0
899

PENJARING gol pertama Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Aidil Zafuan Abd Radzak menghadiahkan kejayaan pasukan menjuarai Piala Malaysia musim ini kepada penyokong skuad selatan tanah air itu selepas merakam kemenangan 2-0 ke atas Kedah dalam final di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Tonggak pertahanan tengah itu berkata, ia hadiah istimewa buat penyokong setia Harimau Selatan yang sentiasa berada di belakang kelab sepanjang musim ini.

“Sudah tentu ia sangat istimewa apabila dapat menjaringkan gol penting terutama dalam perlawanan akhir dan saya gembira dapat membantu Johor meraih kemenangan sekali gus juara Piala Malaysia,” katanya.

Pada pertemuan itu, Johor DT mengejutkan Kedah seawal minit kedua hasil tandukan Aidil sebelum pemain import dari Argentina, Gonzalo Cabrera melebarkan kedudukan 2-0 pada minit ke-63 yang menyaksikan keputusan itu kekal hingga wisel penamat.

Ujar pemain berusia 30 tahun itu lagi, semua pemain wajar dijulang sebagai wira selepas mereka bertungkus-lumus mencipta kemenangan bermakna, pada aksi kemuncak yang penuh dramatik itu.

“Gol pertama itu memang penting untuk menaikkan semangat kami. Saya hanya menjalankan tugas dan memang tanggungjawab saya sebagai pemain cuba menjaringkan gol walaupun beraksi di bahagian pertahanan.

“Apapun, saya ucap terima kasih kepada semua termasuk pengurusan pasukan, jurulatih dan penyokong. Musim ini amat mencabar buat kami, namun kami berjaya akhiri saingan dengan satu lagi catatan sejarah buat kelab,” katanya.

Kejayaan merampas Piala Malaysia itu memastikan trofi berprestij itu kembali menuju ke selatan tanahair selepas Johor muncul juara pada 1985 dan 1991.

Kredit Gambar : Johor Southern Tigers

Transformasi yang berlaku ke atas kelab itu pada 2013 dengan menggunakan nama baru iaitu, Johor DT meletakkan mereka kini sebagai raja bola sepak tanahair apabila mendominasi saingan tempatan dengan merangkul Liga Super sebanyak empat kali (2014, 2015, 2016, 2017) dan Piala Sumbangsih dua kali (2015, 2016) selain menjulang Piala FA dan Piala AFC sekali, masing-masing pada 2016 serta 2015.

Sumber Berita : https://www.hmetro.com.my/arena/2017/11/280749/piala-malaysia-hadiah-buat-penyokong-aidil