PKNS Ikat 2 Tonggak Import

1
1672
Romel Morales Ramirez dan Faris Ramli PKNS

PKNS FC semalam mengesahkan menerusi laman ‘facebook’ mereka berkenaan pengesahan dua pemain import yang telah sah menjadi milik mereka dalam satu majlis di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya. Dua tonggak import tersebut adalah Muhammad Faris bin Ramli yang mengisi kuota import ASEAN manakala pemain muda dari Colombia Romel Morales mengisi kuota bebas.

Faris Ramli yang mendapat gelaran “Messi Singapura” sebelum ini telah menjalani ujian pemilihan bersama Melaka United namun rezeki beliau bukan bersama Melaka. Beliau yang kini berusia 25 tahun sebelum ini bermain bersama Home United di Singapura telah menjaringkan 14 gol dalam 30 penampilan musim lalu. Beliau juga membantu Home United layak ke pusingan akhir Zon ASEAN.

Faris Ramli PKNS

Faris Ramli juga tidak asing dalam saingan Liga Malaysia kerana pernah mewakili Lions XII ketika mereka menjadi pasukan jemputan dalam saingan tahun 2013 hingga 2015. Beliau juga menjadi penjaring pertama Lions XII dalam perlawanan akhir Piala FA 2015 yang menyaksikan kemenangan 3-1 ke atas Kelantan untuk membawa pulang Piala FA ke bumi Singapura selain pernah membawa pulang kejuaraan Liga Super 2013.

Untuk persembahan bersama pasukan kebangsaan Singapura, Faris Ramli telah mencatatkan 37 caps dan menjaringkan 5 gol buat negara beliau semenjak 2013. Faris menganggap PKNS adalah kelab yang terbaik buat beliau kerana menempatkan ramai pemain muda pilihan jurulatih K. Rajagobal.

Romel Morales Ramirez pula merupakan seorang pemain tengah yang baru berusia 19 tahun. Beliau sebelum ini bermain bersama kelab Banfield dalam Liga Divisyen 1 Argentina. Beliau memulakan kerjaya bola sepak bersama River Plate pada usia 14 tahun.

Romel Morales Ramirez PKNS

Menurut K. Rajagobal, beliau melihat Romel sebagai seorang pemain tengah yang memiliki strategi perancang yang baik. Ianya dapat dilihat dalam beberapa minggu di mana Romel menjalani ujian pemilihan. Romel juga dilihat mempunyai tenaga muda yang mampu memberi saingan kepada lawan yang lebih kuat sepanjang 90 minit permainan.

Kedua-dua pemain import ini di sahkan menandatangani kontrak selama setahun bersama pasukan “Semut Merah” itu. PKNS musim 2018 di bawah bimbingan Rajagobal di lihat mampu memberikan cabaran dengan gandingan pemain muda dan berpengalaman. Pastinya PKNS FC mahu melangkah lebih jauh pada musim ini.

Baca juga: Kekeliruan Timbul Berkenaan Perpindahan Alvaro Silva Ke Kedah