Wednesday, June 19, 2024
HomeBERITA SEMASAAkhirnya Nelo Vingada Bersuara Selepas Perlawanan Semalam

Akhirnya Nelo Vingada Bersuara Selepas Perlawanan Semalam

NELO Vingada  mengakui tidak bimbang dengan masa depannya bersama skuad kebangsaan walaupun masih belum meraih sebarang kemenangan sejak dilantik sebagai jurulatih Harimau Malaya pada Mei lalu.

Malah, beliau percaya kedudukannya itu tidak goyah meskipun Harimau Malaya mencatat kekalahan terbaru malam tadi, kepada Korea Utara 1-4 pada aksi keempat Kumpulan B pada kempen kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium I-Mobile.

Kekalahan itu menyaksikan peluang untuk anak buahnya mara ke pusingan akhir kejohanan tertinggi Asia semakin tertutup rapat dengan saingan berbaki dua perlawanan.

Namun, Vingada menjelaskan beliau belum berputus asa untuk terus berusaha meningkatkan prestasi skuad Harimau Malaya.

“Saya mempunyai kontrak dua tahun (bersama Harimau Malaya) dan sejujurnya keputusan ini mengecewakan saya lebih daripada apa yang orang lain rasa.

“Penyokong Malaysia juga kecewa, tapi saya dan pemain lebih kecewa. Saya tidak akan ke mana-mana, sama ada pasukan bermain bagus atau teruk, ia adalah sebahagian daripada perlawanan dan tugas saya.

“Saya tidak bimbang mengenai jawatan saya sebagai jurulatih. Saya suka pasukan Malaysia dan pemain saya. Malah, saya tidak akan pernah berputus asa untuk membawa pasukan ini pada tahap lebih baik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Kekalahan ketiga dalam saingan kumpulan itu menyaksikan Harimau Malaya kekal di kedudukan tercorot selepas hanya mengutip satu mata daripada empat perlawanan.

Malah, Vingada masih belum menamatkan kemarau tanpa sebarang kemenangan selepas enam perlawanan membimbing Harimau Malaya termasuk aksi kelayakan Piala Asia dan persahabatan antarabangsa.

Bagaimanapun pengendali dari Portugal bergelar ‘The Professor itu mengakui, beliau berdepan tekanan selepas prestasi kurang menyerlah dicapai Harimau Malaya terutama dengan pelbagai kritikan dilemparkan penyokong dan beberapa pihak.

“Saya sentiasa tertekan setiap masa dan di mana saja. Namun, tekanan adalah sebahagian daripada kerja saya terutama apabila pasukan mengalami kekalahan.

“Setiap perlawanan akan ada tekanan, tapi saya rasa tekanan dan ia sensitif. Tapi saya perlukan masa dan kesabaran untuk mendapatkan keputusan yang baik buat pasukan,” katanya.

Kredit : Harian Metro

Baca Juga : 3 Perkara Penting Ketika Malaysia Tewas Kepada Korea Utara

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments