Skuad Lelaki Terus Mara Piala Raja Thai 2017

1
1646
Takraw MAS regu lelaki 1

Setelah menjuarai acara antara regu dan quadrant dalam kejohanan Piala Raja Thai, skuad sepak takraw lelaki negara meneruskan misi dalam acara berpasukan. Sebaik bergelar juara antara regu, mereka terus memulakan acara berpasukan peringkat kumpulan apabila menundukkan Laos pada hari Jumaat.

Semalam satu lagi perlawanan peringkat kumpulan diharungi pasukan sepak takraw negara apabila dijadualkan bertemu China. Ternyata pasukan China bukanlah tandingan negara yang memulakan permainan sepak takraw ini.

Cabaran skuad negara dimulakan dengan Muhammad Zulkifli Abd Razak selaku tekong dan digandingkan bersama Muhammad Azwan Muhrim sebagai ‘feeder’ dan Muhammad Afifuddin Mohd Razali selaku killer yang menjadi regu pertama yang turun menentang China.

Kemenangan mudah dicapai regu pertama negara itu setelah menang mudah dalam permainan dua set dengan mata 21-10 dan 21-11. Kemenangan regu pertama ini sekaligus menghadiahkan mata pertama buat Malaysia.

takraw-malaysia

Kecemerlangan regu pertama disambung oleh Muhammad Syahir Mohd Rosdi (tekong), Mohd Safarudin Abu Bakar (feeder) dan Muhammad Norhafizi Abd Razak (killer). Regu kedua negara ini ternyata tidak diberi saingan oleh regu China apabila menang mudah 21-8 dan 21-3 untuk memberikan mata kedua negara. Jurang perbezaan mata yang sangat besar jelas membuktikan tiada tandingan hebat daripada regu China.

 Walaupun telah menang dua daripada tiga perlawanan dan mengesahkan kemenangan, peraturan peringkat kumpulan masih memerlukan regu ketiga untuk turun bertanding. Ianya adalah kerana perbezaan mata menjadi penentu kedudukan dalam kumpulan.

Said Ezwan Said De (tekong), Mohamad Syazreenqamar Salehan (feeder) dan Muhammad Kamal Ishak (killer) menggalas cabaran selaku regu ketiga. Walaupun telah memastikan kemenangan, regu negara ini tidak bermain sambil lewa dan mencatatkan kemenangan 21-14 dan 21-8 sekaligus memberi mata ketiga buat negara.

Kemenangan ke atas China ini menjadikan pasukan negara juara kumpulan D dan layak ke peringkat suku akhir untuk bertemu India.

Suku Akhir

Pasukan negara meneruskan cabaran dalam acara berpasukan ini pada sebelah petang apabila turun menetang India diperingkat suku akhir. Regu yang sama diturunkan ketika menentang China untuk menghadapi perlawanan pertama.

Muhammad Zulkifli Abd Razak (tekong) yang digandingkan bersama Muhammad Azwan Muhrim sebagai (feeder) dan Muhammad Afifuddin Mohd Razali (killer) ternyata tidak berdepan masalah besar apabila menang mudah 21-7 dan 21-6 ke atas regu pertama India untuk memberikan mata pertama buat Malaysia.

Takraw MAS team lelaki 2

Satu pertukaran dilakukan kem negara pada regu kedua berbanding ketika menentang China. Farhan Adam diturunkan selaku ‘feeder’ manakala Mohd Safarudin Abu Bakar direhatkan. Gandingan Farhan besama Syahir Rosdi dan Norhafizi Abd Razak gagal disaingai regu India.

Regu negara mencatat kemenangan kedua dengan mata 21-12 dan 21-12 sekaligus melayakkan pasukan negara ke peringkat separuh akhir tanpa perlu menurunkan regu ketiga.

Jadual Perlawanan

Pasukan negara bakal turun berhadapan Korea Selatan pada pagi Ahad dalam peringkat separuh akhir. Ketiga-tiga regu negara dijangka tidak mempunyai masalah besar untuk melepasi cabaran Korea Utara ini. Namun pemain-pemain negara tidak seharusnya memandang enteng terhadap permainan Korea Selatan.

Satu lagi perlawanan separuh akhir akan mempertemukan tuan rumah yang juga kuasa besar sepak takraw, Thailand dan juga Filipina. Pastinya seluruh peminat sepak takraw ingin menyaksikan pertandingan akhir yang epik antara Malaysia dan Thailand,

Perlawanan akhir dijadualkan pada sebelah petang hari yang sama. Ayuh sama-sama kita doakan kejayaan buat pasukan sepak takraw negara.

Baca juga: Giliran Regu Lelaki Juara Piala Raja Thai 2017