Tambahan Kuota Import : Impak Kepada Pasukan Dan Skuad Negara

1
1075

Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) malam tadi mengumumkan melalui laman ‘facebook’ mereka berkenaan perubahan mengenai kuota pemain import yang bakal diperkenalkan bermula musim hadapan untuk tempoh 4 tahun akan datang (2018-2021).

Menurut info grafik yang dimuat naik itu tambahan 1 kuota import Asean bakal di perkenalkan bermula musim hadapan untuk saingan Liga Super. Ini menjadikan secara keseluruhannya 3 pemain import bebas, 1 pemain import Asia dan 1 Asean bakal digunakan oleh pasukan-pasukan Liga Super.

Perubahan Pemain Import

Walaubagaimanapun tambahan kuota import tersebut tidak boleh digunakan untuk saingan Piala FA dan Piala Malaysia bagi memberi kesamarataan dengan pasukan-pasukan Liga Perdana yang tidak mempunyai kuota tambahan tersebut.

Peraturan baru ini, mendapat pelbagai reaksi daripada banyak pihak terutamanya dari kalangan peminat bola sepak tanah air. Ramai yang berbincang mengenai kelebihan dan kekurangan dalam peraturan baru tersebut.

Berikut adalah pendapat kami berkenaan peraturan baru pemain import tersebut.

Kelebihan:

1. Menarik Perhatian Penaja Dari Luar

Seperti yang telah diutarakan oleh Presiden FAM, Tunku Ismail ketika sesi bersama peminat yang lalu, tujuan utama penambahan kuota import ASEAN adalah berniat untuk mencari dana tambahan bagi semua pasukan-pasukan yang bertanding. Seperti mana yang kita tahu, salah satu masalah yang dihadapi oleh pengurusan pasukan-pasukan dalam negara kita ialah berkenaan dana.

Ini dapat direalisasikan apabila pemain-pemain import ASEAN tersebut mendapat liputan daripada negara mereka. Ianya secara tidak langsung dapat menarik minat tajaan daripada negara serantau untuk menaja pasukan-pasukan dalam Liga Malaysia.

Carabao

2. Peluang Pemain Berdepan Lawan Lebih Baik

Dari suatu sudut yang berbeza, kita  dapat melihat pemain-pemain tempatan mendapat lebih saingan yang kompetatif dalam Liga Super. Kemasukan lebih pemain import ini pastinya memberi lebih cabaran dalam permainan mereka. Ini secara tidak langsung dapat menaikkan motivasi pemain disamping berusaha memperbaiki kelemahan mereka.

3. Menarik Perhatian Peminat Untuk Hadir ke Stadium

Dengain saingan yang lebih kompetatif, pastinya secara tidak langsung dapat menarik peminat bola sepak tanah air untuk menyaksikan perlawanan di hadapan mata mereka sendiri. Dengan perlawanan yang lebih sengit dengan kehadiran lebih pemain import ini, ianya bakal menjadi faktor utama untuk peminat turun ke stadium. Secara tidak langsung, pendapatan pasukan melalui jualan tiket dapat ditingkatkan.

4. Peluang Pemain Tempatan Menimba Ilmu Daripada Pemain Import

Dengan syarat yang ditetapkan FMLLP untuk hanya membenarkan pemain ASEAN yang mempunyai 30 caps antarabangsa, pastinya pemain yang bakal hadir mempunyai pengalaman yang luas dalam arena bola sepak antarabangsa. Ini memberi peluang kepada pemain tempatan menimba lebih ilmu dari pengalaman pemain tersebut.

Felda

5. Saingan Lebih Kompetatif Di Peringkat Asia

Seperti mana yang kita tahu, pasukan dari Malaysia mempunyai 2 slot automatik dalam saingan Piala AFC. Ini memberi lebih pilhan pemain kepada pasukan yang berjaya melayakkan diri ke saingan tersebit.

Tambahan pula, ura-ura Malaysia bakal memperolehi 1 slot automatik dalam saingan Liga Juara-Juara AFC pada tahun 2019 dan 2020 akan tercapai. Ini berdasarkan kedudukan MA yang terkini meletakkan Malaysia ditangga ke-6. Pastinya pemain yang lebih mantap diperlukan untuk saingan tersebut bagi pasukan yang berjaya layak ke kejuaraan tersebut.

6. Peluang Mendapat Liputan Daripada Penyiar Antarabangsa

Jika di imbas pada 8 September yang lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia telah pun membuat rundingan bersama pihak 21st Century dan Fox Sports bagi membincangkan kerjasama dan hak penyiaran yang dapat membantu pasukan-pasukan bertanding dalam Liga Malaysia. Walaubagaimanapun masih tiada maaklumat terkini berkenaan rundingan ini.

FAM meet Fox Sports

Dengan adanya tambahan pemain import ASEAN ini, ianya memberi peluang untuk Liga Malaysia disiarkan di peringkat antarabangsa atau sekurang-kurangya di peringkat Asia kerana pasti akan ada peminat dikalangan negara pemain import yang ingin menyaksikan pemain kesayangan mereka.

Peluang ini juga dapat menjana pendapatan pasukan-pasukan yang bertanding apabila mendapat pendapatan yang lebih  daripada hak penyiaran. Sebelum ini, Presiden FAM mensasarkan sekurang-kurangnya RM 3 juta untuk setiap pasukan Liga Super dan RM 1 juta untuk pasukan Liga Perdana.

Kelemahan:

1. Kurang Kuota Pemain Tempatan Dalam Kesebelasan Utama

Berbanding musim ini, dengan 4 pemain import didaftarkan pemain tempatan masih mempunyai 7 lagi slot dalam kesebelasan utama. Walaubagaimanapun bermula musim 2017, pastinya kebanyakan pasukan akan menggunakan kesemua 5 import yang mereka daftarkan. Keadaan ini akan menyebabkan pemain-pemain tempatan hanya memeiliki baki 6 tempat dalam kesebelasan utama.

2. Pemain Tempatan Kurang Minit Permainan

Disebabkan kekurangan tempat dalam kesebelasan utama, kira-kira 23-35 pemain tempatan perlu merebut 6 tempat dalam kesebelasan utama. Ini berdasarkan setiap pasukan secara purata mendaftarkan keseluruhan 28-30 pemain semusim. Perebutan tempat ini pastinya akan memberikan kurang minit permainan bagi pemain-pemain tempatan.

3. Kekurangan Kumpulan Pemain Berbakat

Oleh kerana kurangnya slot pemain dalam kesebelasan utama, ini akan mengecilkan lagi kumpulan pemain untuk skuad kebangsaan. Jurulatih pasukan kebangsaan berkemungkinan kekurangan pilihan pemain yang baik untuk mewakili negara dalam kejohanan-kejohanan antarabangsa.

Hazwan Bakri

4. Skuad Kebangsaan Bakal Ketandusan Penyerang

Boleh dikatakan kesemua pemain import yang dibawa masuk pasukan bertanding menggunakan pemain import sebagai penyerang utama. Ini serba sedikit menutup peluang penyerang tempatan menunjukkan kebolehan mereka. Secara tidak langsung, pengendali skuad kebangsaan bakal menghadapi masalah dalam membawa penyerang untuk skuad kebangsaan kerana kurangnya minit permainan mereka di peringkat liga domestik.

5. Kurang Persaingan Daripada Pasukan Yang Tidak Mempunyai Kewangan Kukuh

Sepertimana yang diketahui, untuk membawa pemain import ke dalam pasukan memerlukan kos yang tinggi. Pastinya gaji mereka lebih tinggi daripada pemainpemain tempatan. Ini menutup peluang untuk pasukan yang tidak mempunyai sumber kewangan yang utuh untuk membawa 5 pemain import seperti pasukan yang mampu memilikinya. Secara tidak langsung pasukan-pasukan tersebut akan kekurangan daya saing dalam menghadapi liga.

Kesimpulan

Seperti yang dimaklumkan oleh Presiden FAM sebelum ini, matlamat utama penambahan kuota ASEAN adalah bertujuan untuk memperkukuhkan lagi kewangan setiap pasukan di masa hadapan selain meningkatkan taraf Liga Malaysia. Memandangkan FMLLP telahpun menetapkan peraturan ini di kuatkuasakan selama 4 tahun sahaja, kami berpendapat ianya suatu langkah yang baik bagi membantu pasukan-pasukan dalam Liga Malaysia memperkukuhkan kewangan mereka.