Kenali Khalid Ali, ‘Lagenda’ Bola Sepak Dan Pengkritik Negara

0
2834

Saban hari, nama Khalid Ali sentiasa menjadi buah mulut peminat bola sepak negara kerana kritikan pedasnya dalam isu semasa bola sepak. Pelbagai isu semasa dalam bola sepak, pasti nama ini akan tampil memberikan pandangan mahupun kritikan yang kadangkala tidak berasas. Sebelum ini, beliau mengatakan bahawa beliau tidak yakin dengan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe akan dapat menundukkan Timor Leste ekoran tiada penyerang digeruni.

“Saya lihat setakat ini tiada penyerang yang berkualiti iaitu digeruni lawan sekali gus membayangkan kemungkinan agak sukar untuk menewaskan Timor Leste.”

“Jika ada penyerang pun, mereka ini jarang bermain untuk pasukan masing-masing dan ada antara mereka hanya memanaskan bangku simpanan saja. Jadi untuk meledak gol pada perlawanan nanti mungkin agak sukar,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Namun begitu, selepas Malaysia berjaya melengkapkan kemenangan besar 7-1 keatas Timor Leste, beliau tampil pula dengan kenyataan berbeza.

Khalid Ali berkata: “Saya sedih melihat keadaan padang, kerana itu bukan taraf dunia ataupun ‘standard’ untuk pemain profesional. Tetapi ianya ‘standard’ untuk pemain kampung”, disusuli pula dengan kenyataan, “Jangan terbuai dengan kemenangan besar ini kerana Timor Leste bukan ancaman besar negara”. Aduhai.

Siapakah Khalid Ali?

Mungkin ada yang tidak mengetahui tentang individu ini memandangkan penulis atau generasi Y yang lain tidak kenal insan yang pernah mengharumkan nama negara kita. Khalid Ali adalah bekas pemain bola sepak negara yang sezaman dengan Allahyarham Mokhtar Dahari dan seangkatan dengannya. Khalid Ali atau nama penuhnya Abd Mohd Khalid Mohd Ali beraksi di bahagian tengah bertahan atau dalam tema masa kini holding midfielder. 

Gaya permainannya yang rovers dan lasak menjadikannya pemain yang sungguh digeruni lawan seperti Korea Selatan, Jepun, dan Indonesia. Beliau pada asalnya beraksi di bahagian bek kanan sewaktu bermain bersama Selangor akan tetapi ketika berada di kem kebangsaan, jurulatih negara ketika itu, mendiang Karl Heinz Weigang menukar posisinya ke bahagian tengah lalu sebati dengan dirinya.

“Saya memulakan karier dengan Selangor dalam Piala Burnley kemudian Piala Malaysia sebagai bek kanan sejak tahun 1975 tetapi Weigang menukar posisi saya ke bahagian midfileder bertahan yang terus melekat sehingga saya bersara,” katanya.

‘Legend’ Sangat Ke Dia?

Penulis boleh katakan bahawa beliau seorang lagenda bola sepak walaupun belum dilahirkan ketika era 70an mahupun 80an. Aksinya juga belum pernah ditonton lagi. Beliau telah mewakili skuad kebangsaan sewaktu di bangku sekolah menengah lagi ketika mendapat pendidikan menengah di Sekolah Ampang Lelaki pada 1969 hingga 1971 sebelum berpindah ke Sekolah Tinggi Setapak dan mula mewakili pasukan Selangor (1976-1985), dan skuad negara (1977-1985).

Antara kejayaan manis beliau adalah berjaya membawa skuad negara mara ke Sukan Olimpik Moscow 1980. Tetapi sayangnya, Malaysia menarik diri daripada kejohanan kerana kerajaan memerintahkan untuk memboikot disebabkan pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan ketika itu. Apabila politik dicampurkan dalam sukan maka ini lah jadinya.

Sorotan

Kini Khalid Ali merupakan seorang usahawan selain menjadi pengkritik bola sepak negara. Kritikan dan pendapat yang diberikan adakalanya ramai bersetuju dan ada juga yang sebaliknya. Antara kritikannya yang mendapat reaksi pelbagai adalah tentang Lim Tiong Kim dan skuad NFDP.

“Beliau mesti bertanggungjawab, Menteri Belia dan Sukan perlu menamatkan khidmatnya, ia tindakan yang baik.”

“Saya melihat satu kesilapan apabila KBS membayar gaji yang begitu tinggi (RM175,000 sebulan). Mungkin pendapatan beliau di Jerman lebih banyak namun seharusnya kita mengukur diri sendiri terlebih dulu.

“Ia jumlah yang tidak patut kerana sepanjang tiga atau empat tahun ini, tiada keputusan yang baik dihasilkan,” katanya.

Tetapi sebelum itu, beliau mengatakan bahawa Malaysia memerlukan 10 ke 15 tahun untuk mencapai tahap maksima peringkat Asia.

“Untuk sampai tahap Asia, mungkin kita perlu tempoh 10 atau 15 tahun.”

Tetapi program NFDP yang belum capai usia 10 tahun sudah bising kerana dikatakan gagal. Apa yang cuba disampaikan sebenarnya?

Rumusan

Kadangkala, kritikan itu perlu dilontarkan supaya seseorang itu akan berusaha untuk memajukan diri. Namun jika kritikan itu kerap dibuat malah bukan jenis membina tetapi menghina, memang menyakitkan hati. Lebih-lebih lagi jika sesuatu yang positif juga dikritik. Kalau negatif lebih hebat kritikannya.

Penulis memohon agar bekas pemain negara yang lagenda seperti Khalid Ali, tampil libatkan diri dalam bola sepak seperti pengurusan kelab, persatuan bola sepak atau pun pundit bola sepak. Lontarkan idea bernas anda yang bergeliga itu kerana anda seorang lagenda. Kami mahukan idea-idea bernas daripada lagenda yang lain.

Kritik itu memang seronok. Hanya menggunakan 2 ulas bibir merah yang merekah berserta lidah yang tiada tulang. Tak perlu menggunakan tenaga yang banyak. Jika ada yang tidak bersetuju sekalipun, tidak perlu menggunakan kehebatan masa lalunya kerana yang lepas tidak akan kembali. Fokus ke hadapan. Zaman 70an tidak sama seperti sekarang.

*Kepada Khalid Ali, atau saudara maranya yang membaca artikel ini, penulis memohon maaf jika tulisan ini mengguris hati. Penulis bukan lagenda, sekadar individu baru nak naik. Hanya pipit yang baru belajar terbang berbanding helang yang kini lagenda.