Perkara Yang Perlu Dilakukan Oleh Chelsea Sekarang!

0
1172

Kelab yang berpengkalan di London, Chelsea bakal berhadapan dengan pelbagai cabaran sebelum memulakan aksi pertama dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Mereka baru sahaja menjual Eden Hazard yang menyertai Real Madrid manakala pengurus mereka musim lalu, Maurizio Sarri telah sah kembali ke Serie A kali ini bersama Juventus. Walaubagaimanapun, Sarri berjaya memenangi trofi pertamanya sepanjang bergelar pengurus apabila memenangi Europa League, sekaligus membolehkan Chelsea beraksi di saingan Liga Juara-Juara Eropah (Uefa Champions League).

Sarri sah ke Juventus. (Sumber rasmi: Juventus

Apa yang pasti, banyak perkara perlu dilakukan oleh pihak atasan kelab untuk mengharungi musim hadapan dan seterusnya. Ini antara yang penulis gariskan.

Lantik Jurulatih/Pengurus Baru

Chelsea antara kelab yang sinonim dengan pertukaran pengurus seperti menukar baju. Walaupun baju itu mahal dan berjenama, jika terdapat sedikit kotoran waima habuk sekalipun, terus dibuang dan diganti dengan baju yang baru. Itulah perumpamaan terbaik tentang kelab serba biru ini.

Jumlah Pengurus Chelsea Sejak Diambil Alih Jutawan Rusia.

Selain Sarri, penolong jurulatih iaitu Gianfranco Zola turut meletakkan jawatan. Ini pasti memberikan tamparan yang hebat kepada skuad The Blues ini.

Antara nama yang menjadi sebutan ramai buat masa ini adalah pengurus Derby County yang juga bekas pemain Chelsea, iaitu Frank Lampard. Pada musim pertama beliau dalam bidang kejurulatihan, Lampard berjaya membawa pasukan Derby melayakkan diri ke saingan Liga Perdana Inggeris. Walaubagaimanapun, Derby layak kerana menduduki tempat ke 6 dan terpaksa bermain melalui playoff.

Namun begitu, penulis merasakan bahawa bakal membawa bencana kepada Lampard selain akan menjadi mangsa yang seterusnya ditukar mahupun dipecat. Jika itu berlaku, pastinya memberikan persepsi yang buruk terhadap penyokong kerana Lampard sudah dianggap sebagai lagenda di Chelsea. Tambahan pula, Lampard masih baru dalam bidang kejurulatihan. Beliau boleh menjadikan contoh beberapa nama yang gagal menguruskan pasukan besar seperti Gary Neville(Valencia), dan Thierry Henry (Monaco).

Penulis merasakan hanya seorang yang layak iaitu bekas pengurus Juventus, Massimiliano Allegri yang telah meletak jawatan musim lalu. Walaupun beliau mengatakan ingin berehat dalam tempoh 1 tahun, tetapi jika pengurusan bijak memberi tawaran serta pujukan, tidak mustahil Allegri akan menjadi pengurus berbangsa Itali yang seterusnya seperti sebelum ini.

Nama lain yang bermain dalam fikiran penulis adalah Jose Mourinho, Guus Hiddink, Slaven Bilic dan Laurent Blanc.

Tetapan KPI Bersesuaian

Walau siapa sahaja yang menjadi pengurus, sasaran KPI yang diletakkan haruslah bersesuaian dengan keadaan kelab. Selain aksi yang banyak dalam kejohanan, Chelsea telah disekat dalam urusan perpindahan pemain pada musim hadapan sekaligus memberikan impak terhadap squad depth. 

Musim lalu, Maurizio Sarri telah diletakkan sasaran supaya memenangi perlawanan akhir Europa League, atau dipecat jika gagal. Ianya satu sasaran yang tidak realistik memandangkan itu adalah musim pertama buat Sarri. Sasaran hendaklah realistik seperti sasaran yang dibuat oleh penulis ketika menguruskan kelab di Football Manager:

EPL- Top 6, EFL Cup- Not Important, Champions League- Quarter Final, FA Cup- Final.

Ini hanya pandangan penulis sahaja.

Pendedahan Buat Bakat Muda

Chelsea antara kelab yang tidak pernah memberikan peluang kepada pemain muda waima daripada skuad belia sekalipun. Nama-nama yang kini telah berhijrah adalah Nathaniel Chalobah, Ola Aina, Nathan Ake dan beberapa lagi nama.

Namun begitu, sejak 2 musim ini, Chelsea mula memberikan peluang kepada pemain muda untuk beraksi di dalam skuad utama. Ketika era kedua Antonio Conte, beliau telah memberi peluang kepada Andreas Christiansen dalam membentuk sistem pertahanan bertiga. Hasilnya, pemain itu berjaya mempamerkan mutu permainan yang baik sekaligus berjaya mengenepikan David Luiz dalam kesebelasan utama.

Di era Sarri pula, beliau banyak menggunakan Ruben Loftus Cheek dalam kesebelasan utama selain Callum Hudson-Odoi di bahagian tengah dan sayap. Walaubagaimanapun, dua pemain ini mengalami kecederaan panjang sekaligus merencatkan persiapan pasukan sebelum memulakan kancah liga.

Oleh sebab itu, mahu atau tidak, Chelsea perlu gunakan skuad belia untuk diserapkan ke dalam pasukan utama. Nama-nama seperti Ike Igbo, Jamal Blackman, Ethan Ampadu harus diberikan peluang beraksi dalam kesebelasan utama.

Rumusan

Sebagai peminat, penulis sudah tentu mengharapkan sesuatu yang positif berlaku pada musim hadapan. 3 perkara diatas antara perkara yang kerap berlaku di kem Chelsea sejak pengambilalihan jutawan Rusia ini. Kesabaran perlu ada dalam sesuatu perkara. Bak kata orang, hari ini kahwin, mustahil esok akan dapat zuriat.

Syabas diucapkan kepada Maurizio Sarri atas pencapaian beliau pada musim lalu. Terima kasih atas perkhidmatan anda walaupun hanya semusim sahaja. 2 aksi akhir, 1 trofi kejuaraan peringkat Eropah dan kedudukan 3 terbaik dalam carta liga adalah sesuatu yang baik buat beliau. Selamat maju jaya buat anda.

Gambar paling ikonik.
Sumber: Bleach Report Football.