Ketua Jurulatih Sah Tinggalkan Pasukan Untuk Ke Indonesia

0
1026
Kredit : Fb- T-Team FC

Pelbagai rintangan dan dugaan dilalui T-Team sejak kebelakangan ini.Terbaru ketua jurulatih mereka sah meninggalkan pasukan ini untuk kembali ke Indonesia.

PENGENDALI T-Team, Rahmad Darmawan sah meletak jawatan selepas penjenamaan semula pasukan itu kepada Terengganu FC II (TFCII) yang bakal beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan.

Turut mengikut jejak langkah ketua jurulatih berusia 50 tahun itu, tiga lagi rakan senegaranya iaitu penolong ketua jurulatih, Satia Bagdja Ijatna; jurulatih kecergasan, Rasiman dan jurulatih penjaga gol, Kurnia Sandy.

Kredit : Fb- T-Team FC

Keputusan meletak jawatan itu dibuat selepas mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Presiden 1 Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, malam tadi.

Rahmad berkata, PBSNT ada menawarkan kontrak untuk membimbing TFCII, namun menolaknya kerana belum bersedia melatih pasukan yang dijadikan sebagai ‘feeder club’.

Bekas pengendali skuad kebangsaan Indonesia itu berkata, dia lebih sukakan cabaran untuk bersaing dan belum tiba masanya lagi untuk menerima tawaran sebagai jurulatih ‘feeder club’.

Kredit : Fb- T-Team FC

“Saya berterima kasih kepada PBSNT kerana masih mahu memberi kepercayaan membimbing TFCII dan secara jujurnya saya sedih untuk meninggalkan pasukan, negeri ini dan penyokong.

“Bagaimanapun, selepas berfikir panjang saya mengambil pendekatan secara profesional dengan meletak jawatan selepas dua tahun membimbing T-Team,” katanya yang ditemui di Pejabat T-Team, hari ini.

Semalam, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman nenamatkan spekulasi yang melanda bola sepak di negeri ini apabila kekal dengan keputusan melakukan penjenamaan semula membabitkan dua pasukan Terengganu dan T-Team musim depan.

Kerajaan negeri mengumumkan lima pasukan baharu berada di bawah Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) iaitu Terengganu FC I (TFCI) yang beraksi di Liga Super, TFC II (Liga Perdana), TFC III (Piala Presiden), TFC IV (Piala Belia) dan TFC V (Bawah 17 Tahun).

Ditanya mengenai hala tujunya selepas ini, Rahmad berkata dia akan pulang ke negara asalnya selepas menerima tiga tawaran daripada kelab yang beraksi dalam Liga Indonesia.

“Saya akan pulang untuk mengadakan perbincangan dengan pasukan Indonesia dan akan membuat keputusan segera pasukan mana dipilih sebelum berangkat menunaikan umrah minggu depan,” katanya.

Kami agak kecewa dengan pembentukan semula T-Team ini kepada TFC II kerana pemain mereka telah berjuang hingga ke perlawanan terakhir untuk mengekalkan kedudukan dalam Liga Super 2018.

Tetapi pihak pengurusan mungkin ada sebab yang lebih baik untuk terus merombak pasukan dengan drastik ini.

Kami berharap pemain pasukan T-Team ini tidak patah semangat dan terus berjuang demi bola sepak negara.

Jom kita saksikan perlawanan T-Team dalam musim 2017 :

Baca juga : Sime Darby FC Dalam Kenangan Di Liga Malaysia