5 Pemain EPL Yang Menyinar Di Real Madrid

0
2412

Real Madrid berjaya melengkapkan pembelian saga mereka apabila berjaya mendapatkan Eden Hazard daripada Chelsea dengan harga 100 juta pound. Ini merupakan satu lagi perpindahan mega yang pernah dilakukan oleh kelab yang mendapat jolokan Los Blancos itu selain menjadikannya seorang lagi pemain daripada Liga Inggeris berpindah ke La Liga Sepanyol.

Eden Hazard akan memakai nombor 7.

Justeru itu, kami senaraikan 5 pemain daripada Liga Perdana Inggeris yang berjaya mencipta nama sekaligus mengenepikan persepsi pengkritik bola sepak bahawa pemain daripada EPL tidak sesuai bermain di liga luar daripada England.

5. Ruud Van Nistelrooy( 68caps, 46gol)

Penyerang berbisa Belanda ini merupakan antara pemain utama dalam skuad Manchester United yang ketika itu masih dibawah pengurusan Sir Alex Ferguson. Selain Thierry Henry, Nistelrooy juga antara penyerang yang sungguh digeruni di England. Beliau berjaya mencatat 95 gol dalam 156 penampilan di EPL.

Namun begitu, Real Madrid berjaya memeterai kontrak bersama Nistelrooy dengan harga 15 juta pound pada tahun 2006. Berita tersebut sangat mengejutkan peminat United khususnya kerana kehilangan penyerang berbisa seperti Nistelrooy. Di Real Madrid, Nistelrooy tidak menunggu lama untuk memperkenalkan dirinya kepada umum apabila pada musim pertama, beliau berjaya menjaringkan 25 gol dalam saingan La Liga sekaligus memenangi anugerah Pichichi iaitu penjaring terbanyak La Liga.

Selain itu, beliau juga berjaya membantu pasukan memenangi kejuaraan liga pada musim 2006/07. Beliau juga berjaya memecahkan rekod penjaring gol konsisten selama 7 perlawanan yang sebelum ini dipegang oleh Hugo Sanchez.

4. Xabi Alonso(272caps, 13 gol,)

Satu lagi perpindahan yang mengejutkan peminat tetapi kali ini peminat Liverpool. Gandingan hebat bersama Steven Gerrard menjaringkan namanya menjadi perhatian kelab The Galaticos itu. Ini ditambah lagi dengan krisis beliau bersama pengurus Liverpool ketika itu, Rafa Benitez menyebabkan beliau menyertai Los Blancos dengan harga 34.5 juta pound. Selepas perpindahan itu, Liverpool mula terasa kehilangan tonggak tengah penting mereka sehingga melalui beberapa musim suram di saingan liga mahupun Eropah.

Di Real Madrid, beliau menjadi pemain penting khususnya ketika dibawah bimbingan Jose Mourinho. Gandingannya bersama Sami Khedira selain dibarisi beberapa pemain bintang seperti Cristiano Ronaldo, Mesut Ozil dan Angel Di Maria, Real Madrid berjaya mengakhiri penguasaan Barcelona dalam kejuaraan liga apabila berjaya merangkulnya pada 2012 selain memenangi Copa Del Rey pada tahun yang sama.

Di bawah pengurusan Carlo Ancelotti, sekali lagi beliau menjadi nadi kepada skuad The Galaticos. Gandingan di bahagian tengah bersama Luka Modric berjaya membantu kejuaraan Eropah dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 2014. Walaubagaimanapun, Real Madrid tidak berminat untuk menyambung kontraknya menyebabkan beliau mengambil keputusan menyertai Bayern Munich dengan harga 9 juta pound.

3. Luka Modric(200 caps, 12 gol)

Pemenang Ballon D’Or ini sudah berada dalam radar pemerhatian mereka sejak 2010 lagi ekoran prestasi cemerlangnya bersama Tottenham Hotspurs. Selain beliau, penyerang sayap mereka juga berada dalam radar iaitu Gareth Bale. Namun begitu, Real Madrid bertindak untuk membeli Luka Modric dahulu dengan harga 35 juta pound.

Ketika di bawah bimbingan Jose Mourinho, Modric tidak mengambil masa yang lama untuk masuk ke kesebelasan utama pasukan apabila berjaya mengenepikan Sami Khedira yang lebih kerap memanaskan bangku simpanan. Walaubagaimanapun, beliau lebih menyinar ketika berada di bawah pengurusan Carlo Ancelotti dan Zinedine Zidane.

Beliau berjaya menjulang Liga Juara-Juara Eropah yang pertama pada tahun 2014 ketika di bawah Carlo Ancelotti. Modric sekali lagi berjaya meraih 3 kejuaraan Eropah ketika di bawah seliaan Zinedine Zidane pada tahun 2016,2017 dan 2018. Beliau antara tonggak ampuh di bahagian tengah dan membentuk 3 serangkai bersama Toni Kroos dan Casemeiro.

2. David Beckham( 116 caps, 23 gol)

Ikon bola sepak kegemaran dunia dan kegilaan wanita di Malaysia ini melengkapkan perpindahan daripada Manchester United dengan harga 37.5 juta pound. Semuanya berlaku apabila hubungannya bersama Ferguson yang mula keruh kerana sikap Beckham yang berubah sejak berkenalan dengan penyanyi kumpulan Spice Girls, Victoria. Penulis taking bahawa penyokong Manchester United pasti tahu lebih lanjut tentang kisah hubungan Beckham dan Ferguson.

Kecederaan kening yang berpunca daripada Sir Alex Ferguson.

Hakikatnya, beliau lebih menikmati karier bola sepaknya ketika bersama Manchester United apabila pelbagai kejuaraan berjaya diraihnya. Hal ini kerana beliau hanya memenangi kejuaraan La Liga pada tahun 2006/2007 selain Copa Del Rey sahaja. Tetapi beliau berjaya beraksi bersama bintang handalan dunia yang lain seperti Ronaldo, Zidane, Roberto Carlos dan Luis Figo.

View image on Twitter

Gaya rambutnya yang berbagai antara yang menjadi ikutan peminat khususnya ketika bersama Los Blancos waima botak sekalipun.

1. Cristiano Ronaldo(292 caps, 311 gol)

Antara pemain terbaik dunia yang pernah lahir di muka bumi ini melengkapkan perpindahan pada tahun 2009 dengan harga 89 juta pound sekaligus menjadi pemain termahal dunia ketika itu. Ronaldo antara pemain muda berbakat sewaktu di Manchester sehingga diberi mandat memakai nombor 7 yang sebelum ini sinonim dengan David Beckham.

Pada awal kemunculannya, beliau yang ketika itu memakai nombor 9 berjaya menjaringkan gol pertama selepas mengelecek 3 pemain lawan sebelum dijatuhkan di dalam kotak penalti. Selepas itu, Ronaldo terus menunjukkan taringnya apabila menyumbat gol demi gol sepanjang kariernya di La Liga.

Beliau telah beraksi bersama 5 pengurus iaitu Manuel Pellegrini, Jose Mourinho, Rafa Benitez, Carlo Ancelotti dan Zinedine Zidane.

Ketika dibawah bimbingan Jose Mourinho, Ronaldo antara senjata utama Mourinho dalam sistem serangan balas yang cukup bahaya sehingga mereka berjaya menamatkan penguasaan Barcelona dalam liga Sepanyol. Pertembungan el-clasico sentiasa dinantikan kerana pertembungan 2 pemain terbaik dunia iaitu Lionel Messi dan Ronaldo sendiri.

Pencapaian Ronaldo sepanjang bersama Real Madrid.

Rumusan

Real Madrid adalah antara kelab besar yang menjadi tempat idaman semua pemain bola sepak tidak kira professional mahupun amatur. Jose Mourinho pernah mengatakan bahawa sukar untuk pemain menolak tawaran bermain di kelab seperti Real Madrid kerana kelab itu sentiasa dibarisi pemain handalan dunia. Jika anda tanya penulis, jawapannya juga sama. Namun penulis hanya mampu menulis sahaja.

Adakah dengan ketibaan Hazard akan mengembalikan semula maruah The Galaticos itu semula yang tercalar musim lalu? Siapakah pemain lain yang akan tiba di Santiago Bernabeu selepas ini? Sama-sama kita lihat.