PSM Umum Pemain Terbaik Ke Saingan Piala Raja Thai 2017

1
1190
takraw-malaysia

Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) semalam mengumumkan senarai pemain yang akan dibawa ke saingan Piala Raja Thai ke-32. Kejohanan tersebut bakal berlangsung pada 11-17 Disember 2017 yang bertempat di Fashion Island, Bangkok, Thailand.

Dua belas pemain bagi setiap kategori lelaki dan wanita disenaraikan untuk membawa cabaran pasukan negara. Kesemua dua belas pemain ini akan dibahagikan untuk menyertai  tiga kategori iaitu berpasukan, regu dan ‘doubles’.

Pemain paling bernilai STL 2017 dan STL Champions Cup 2017 yang juga merupakan tekong terbaik dua kejohanan tersebut, Muhammad Syahir Mohd Rosdi bakal mengetuai cabaran negara. Selain Syahir, Muhammad Zulkifli Abd Razak (Terengganu Turtles), Meor Muhammad Zulfikar Mat Amin (Perak Bisons) dan Said Ezwan Said De (PSM Maverick) antara tekong yang terpilih mewakili negara.

Barisan ‘killer’ negara pula dibarisi oleh  Mohd Hanafiah Dollah (Terengganu Turtles), Muhammad Norhafizi Abdul Razak (Kuala Lumpur Thunders), Muhammad Afifuddin Mohd Razali (ATM Guardians) dan juga Muhammad Kamal Ishak (Penang Black Panthers).

Farhan Adam yang mewakili Selangor Pistons dipilih membawa cabaran selaku ‘feeder’ disamping Mohd Syazreenqamar Salehan, Mohd Safarudin Abu Bakar dan Muhammad Azwan Muhrim (Terengganu Turtles).

Skuad lelaki negara akan dilatih oleh Abd Talib Ahmad, Ahmad Sufian Nafiah dan Najib Iman manakala Yusoff Ali diberi tanggungjawab selaku pengurus pasukan untuk kejohanan tersebut.

Sedikit persoalan timbul berkenaan kredibiliti pemilihan PSM apabila dua pemain terbaik kejohanan STL 2017 tidak dipilih menyertai skuad negara tersebut. Dua pemain tersebut adalah Muhammad Fadzil Mustafa (Perak Bisons) dan Aidil Aiman Zawawi (Kelantan Warriors) yang merupakan ‘killer’ dan ‘feeder’ terbaik STL Premier 2017.

Namun hari ini pengurus pasukan negara, Yusoff Ali tampil memberi penerangan bahawa ada beberapa pemain yang tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya untuk menghadapi kejohanan di Bangkok itu.

Yusoff juga memaklumkan bahawa Fadzil digugurkan di atas permintaan beliau sendiri berikutan kecederaan yang di alami belum pulih sepenuhnya. Walaubagaimanapun situasi berbeza dihadapi Aidil Aiman yang digugurkan berikutan kegagalan melaporkan diri ke kem latihan kebangsaan yang telah bermula beberapa hari lalu.

Selain 12 pemain yang mewakili skuad lelaki negara, 12 pemain wanita juga terpilih untuk menghadapi kejohanan tersebut bagi kategori wanita. Pemain-pemain tersebut adalah:

  1. Siti Norzubaidah Che Ab. Wahab
  2. Siti Norsuhaida Jafri
  3. Emilia Eva Natasha Saudia
  4. Assumalin Rattana Som Chok
  5. Nurrashidah Abd Rashid
  6. Kamisah Khamis
  7. Elly Syahira Rosli
  8. Rahilah Harun
  9. Nor Farhana Ismail
  10. Nurul Aqirah Mat Tahir
  11. Razmah Anam
  12. Nor Azira Suhaimi

Mereka dibimbing oleh Md Fikri Md Nor dan Nordin Sabarudin selaku jurulatih manakala Datin Nasriah Ngasri diberi tanggungjawab selaku pengurus pasukan.

Ayuh sama-sama kita doakan kejayaan buat skuad sepak takraw dalam kejohanan Piala Raja Thai 2017 ini.

Baca juga: Penang Black Panthers Juara Berganda STL 2017