5 Pemain Berpotensi Untuk Negara (feeder)

0
11039

Sepak Takraw League (STL) 2018 semakin menuju ke pusingan 6 terbaik. Saingan hebat ditunjukkan oleh semua pasukan yang terlibat. Saban minggu kejutan sering berlaku dalam setiap perlawanan yang diadakan. Sepanjang liga ini berlangsung, pihak kami tertarik dengan beberapa pemain yang mempunyai peluang untuk menyarung jersi kebangsaan suatu hari nanti. Artikel kali ini, kami menyenaraikan 5 pemain di posisi feeder yang berpotensi bermain untuk skuad negara di kejohanan antarabangsa. Senarai ini dibuat berdasarkan pandangan penulis dan rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan liga ini.

1. Faizzul Razak (Atm Guardians)

Sumber Gambar: Instagram- stl.my

Pemain yang mewakili pasukan Atm Guardians ini mempunyai sentuhan pertama yang baik. Mampu mengawal dan mengumpan bola dengan kedua belah kaki. Beliau tidak mempunyai kaki yang dominan. Selain itu, beliau mampu membuat libasan gulung menggunakan kaki kiri sedangkan ketika mengumpan, beliau selalu menggunakan kaki kanan. Oleh sebab itu, penulis mengatakan beliau adalah pemain yang unik kerana tidak mempunyai kaki yang dominan.

Atm Guardians ketika ini menduduki tempat pertama di carta liga.

2. Muqlis Borhan (Johor Tigris)

Sumber Gambar: Facebook- SepakTakraw League

Tidak keterlaluan untuk penulis mengatakan bahawa keampuhan pertahanan Johor Tigris musim ini adalah kerana Muqlis. Fizikalnya yang kecil tidak menghalangnya untuk memberikan aksi terbaik saban minggu. Beliau mempunyai sentuhan pertama yang baik selain mampu menjawab servis dan libasan kencang daripada pihak lawan. Muqlis juga berupaya melakukan libasan gulung seperti dilakukannya pada aksi menentang Penang Black Panthers, Sabtu lalu.

Johor Tigris musim ini berada di kedudukan kelima liga.

3. Amirul Zazwan (KL Thunder)

Sumber Gambar: Instagram- stl.my

Pemain yang bermain untuk pasukan KL Thunder ini pernah bermain bersama skuad negara ketika Sukan Sea di Kuala Lumpur tahun lalu. Namun begitu, pada kempen Sukan Asia di Palembang Ogos lalu, namanya tidak disenaraikan oleh Abdul Talib Ahmad. Walaubagaimanapun, namanya berpeluang untuk disenaraikan kembali ke skuad negara berdasarkan prestasi semasa bersama KL Thunder.

Beliau mempunyai sentuhan pertama yang baik selain mampu menjawab servis kencang daripada pihak lawan.

4. Zaim Razali ( Penang Black Panthers)

Sumber: stadiumastro

Beliau adalah tonggak penting Penang Black Panthers musim ini. Selain itu, beliau berjaya mencipta variasi hantaran pelbagaipkepada killer yang disandang oleh Azlan Alias menjadikan umpanan yang diberikan jarang mengecewakan rakannya. Zaim mempunyai sentuhan pertama yang baik selain mampu membuat libasan secara gulung.

Tidak mustahil pemain ini mendapat panggilan skuad negara memandangkan usianya juga agak muda. Penulis berharap suatu hari nanti beliau bukan sahaja mendapat panggilan, tetapi dapat beraksi menyarung jersi kebangsaan.

5. Aidil Aiman Azwawi (Kelantan Warriors)

Sumber: Facebook- Sepak Takraw League

Pemain yang pernah memenangi anugerah Apit Kiri Terbaik STL tahun lalu pernah mendapat panggilan skuad negara namun tidak beraksi di Sukan Asia Palembang lalu. Beliau hanya berada di bangku simpanan sahaja. Walaubagaimanapun, beliau mempunyai masa depan yang cerah dalam sepak takraw negara.

Ketenangan yang dimiliki selain kawalan bola yang baik antara senjata utama pemain berusia 20 tahun ini. Beliau mempunyai sentuhan pertama yang baik selain ketenangan dalam membuat umpanan kepada killer. Oleh sebab itu, pihak lawan sukar untuk melakukan serangan psikologi kerana ketenangan yang dimilikinya. Pada musim ini, beliau antara tonggak penting untuk Kelantan Warriors. Tidak mustahil namanya akan tersenarai dalam skuad kebangsaan.

Rumusan

Ada diantara pemain di atas pernah dipanggil menyertai skuad kebangsaan, namun tidak berpeluang beraksi dalam perlawanan. Penulis berharap pemain yang dipanggil bukan sahaja sekadar memanaskan bangku simpanan, namun dapat beraksi kerana mereka mempunyai potensi yang besar.

STL musim ini berjaya mendapat liputan yang memberangsangkan daripada netizen Malaysia. Saban minggu kehadiran penonton di Gem In Mall, Cyberjaya amat menggalakkan. Kami berharap liga ini diteruskan lagi beberapa tahun akan datang supaya kita dapat melahirkan bakat baru yang boleh mengharumkan nama negara.

Nantikan artikel seterusnya bagi posisi killer pula.