PSAS 2018: Malaysia Gagal Saingi “The Kookaburras”

0
961
PSAS 2018 MAS vs AUS

Selepas aksi cemerlang menundukkan Ireland 4-1 pada perlawanan pertama, skuad hoki negara menerima kekalahan pertama apabila tumpas 1-3 kepada pasukan yang berada di ranking pertama dunia, Australia dalam perlawanan kedua Piala Sultan Azlan Shah 2018 yang berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah Ipoh Perak, malam tadi.

Skuad “The Kookaburras” mendapat gol pertama menerusi Corey Weyer hasil pukulan sudut penalti selepas pemain Malaysia melakukan kesilapan. Sebelum itu, anak-anak buah Stephen Van Huizen bermain agak seimbang dan Australia dipaksa bekerja keras.

Pintu gol skuad negara bolos sekali apabila Dylan Wotherspoon membuat jaringan padang. Gol tersebut terhasil setelah kesilapan pemain pertahanan negara melakukan kesilapan dan memaksa penjaga gol negara, Mohammad Hairi Abd Rahman keluar dari posisi. Ini menyebabkan gawang pasukan negara terbuka luas dan Dylan Wotherspoon tidak mensia-siakan peluang tersebut untuk gol kedua Australia.

Image may contain: 4 people, people playing sports
Kredit imej: Malaysia Hockey Confederation

Malaysia berjaya memperolehi gol pertama selepas tiga minit suku ketiga bersambung. Walaubagaimanapun gol ketua pasukan negara, Muhammad Razie Rahim menerusi pukulan sudut penalti itu dibatalkan pengadil perlawanan selepas pemain-pemain Australia memohon rujukan video dibuat.

Australia terus melakukan serangan bertali arus untuk menjarakkan kedudukan. Walaubagaimanapun skuad negara mempamerkan aksi cemerlang selepas berjaya menafikan beberapa percubaan menerusi pukulan sudut penalti dan cubaan serangan Australia.

Namun selepas diasak berkali-kali benteng negara akhirnya dirobek kali ketiga pada minit ke-43 menerusi jaringan padang Aaron Kleinschmidt untuk Austalia terus selesa mendahului 3-0.

Image may contain: 3 people
Kredit imej: Malaysia Hockey Confederation

Walaupun telah ketinggalan tiga gol, ianya tidak melemah semangat pemain-pemain negara dalam mengatur serangan. Hasilnya, Mohd Marhan Mohd Jalil berjaya melakukan jaringan padang untuk menjadikan kedudukan 1-3 pada minit ke-53.

Berbaki tujuh minit perlawanan, skuad Malaysia gagal menggandakan jaringan dan terpaksa akur tewas 1-3 apabila keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.

Bagaimanapun pujian harus diberikan kepada skuad bimbingan Stephen van Huizen yang beraksi bermati-matian serta telah memberikan tentangan yang terbaik kepada The Kookaburras sebelum mereka berjaya meraih kemenangan.

Image may contain: 4 people, people playing sports and outdoor
Kredit imej: Malaysia Hockey Confederation

Keputusan malam tadi meletakkan Malaysia kini di kedudukan ketiga dengan tiga mata sementara Australia berada di kedudukan teratas dengan enam mata dan dipisahkan dengan perbezaan gol untuk meletakkan Argentina di kedudukan kedua yang turut mengumpul enam mata.

Malaysia akan turun pada aksi ketiga pada 6 Mac 2018, menentang Argentina pada jam 8.30 malam.