Jupha Somnet Cipta Kejutan Di ACC, Trio Remaja Lelaki Sumbang Gangsa

0
842
Jupha Somnet

Jupha Somnet mencipta kejutan apabila merangkul pingat emas dalam acara pelumbaan mata (point race) pada hari pertama Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2018 yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai.

Pelumba berusia 24 tahun ini yang juga merupakan seorang anggota polis menamatkan perlumbaan dengan sempurna untuk membuka akaun pingat buat skuad Malaysia dalam kejohanan ini.

Jupha mengumpul 35 mata keseluruhan dalam saingan sejauh 20 kilometer (80 pusingan) manakala pelumba Hong Kong, Diao Xiaojuan perak (25 mata) dan Ke Xin Zeng dari Taiwan dengan 21 mata.

Hasil carian imej untuk jupha somnet
Kredit imej: Berita Harian

Dalam perlumbaan tersebut, Jupha Somnet berjaya memungut 20 mata selepas berjaya memintas kelompok besar yang ditinggalkannya dalam pusingan sebelum itu dipertengahan perlumbaan. Jelas Jupha Somnet mempamerkan kayuhan yang bertenaga untuk menamatkan 80 pusingan perlumbaan tersebut.

Lebih manis lagi buat pelumba kelahiran Perlis itu, apabila pingat emas yang dirangkul beliau merupakan pingat emas kedua daripada kategori wanita dalam Kejohanan Lumba Basikal Asia. Pingat emas yang pertama dirangkul Fatehah Mustapa pada edisi 2012 dalam acara keirin.

Kejayaan Jupha meraih emas adalah satu kejutan apabila harapan hanya disandarkan kepada Azizulhasni Awang serta barisan pelumba yang berlatih di Melbourne.

Pelumba kelahiran Perlis itu menebus kekecewaan pada Sukan SEA tahun lalu apabila gagal meraih emas dalam acara disertainya di trek dan lebuh raya.

Hasil carian imej untuk jupha somnet
Kredit imej: thesundaily.com

Malah ia adalah emas sulungnya di ACC pada penampilan keempat selain membuktikan pemilihannya ke Sukan Komanwel pada April nanti adalah tepat.

Pencapaian terbaik Jupha Somnet dalam kejohanan ini adalah merangkul pingat perak pada edisi 2016 yang berlangsung di Jepun.

Menurut Jupha “Sebenarnya persediaan saya adalah singkat untuk ACC dan tidak mempunyai sasaran kerana hanya mahu memberikan prestasi terbaik.

“Mungkin itu yang membantu saya apabila dapat beraksi tanpa tekanan selain bersandarkan pengalaman dikutip selama ini,” jelasnya yang juga atlet pertama negara memenangi acara berkenaan di ACC.

Jupha Somnet sebelum ini tidak diberi harapan untuk meraih pingat apabila ianya diletakkan kepada pelumba-pelumba yang menjalani latihan di Melbourne, Australia terutamanya “The Pocket Rocket Man”, Azizulhasni Awang yang akan mula beraksi hari ini dalam acara kegemarannya, keirin.

Hasil carian imej untuk jupha somnet
Kredit imej: Harian Metro

Satu lagi pingat untuk skuad negara disumbang trio pecut berpasukan lelaki dalam kategori. Mereka berjaya menyumbang pingat gangsa setelah menewaskan Korea Selatan dalam penentuan tempat ketiga.

Trio negara yang membariskan Muhammad Ridwan Sahrom, Amar Danial Masri dan Fariz Haikal Mohd Kadir melakukan 47.419s menewaskan lawan yang mencatat 47.359s.

Selain daripada itu, saingan elit turut melakarkan satu rekod kebangsaan menerusi acara kejar-mengejar berpasukan lelaki elit diketuai Irwandie Lakasek, Nur Aiman Rosli, Mohd Afiq Huznie Othman dan Muhammad Danieal Haikkal Eddy Suhaidee.

Mereka mencipta rekod baharu kebangsaan dengan masa empat minit 09.600 saat, memadam rekod lama 4:09.999s dilakukan pada Sukan SEA lalu.

Manakala, skuad kejar-mengejar berpasukan lelaki remaja yang menampilkan Zulhelmi Zainal, Muhammad Shafiq Mohamad, Muhammad Hakimi Nor dan Muhammad Shahmir Riduan Abdul Halim mencipta rekod baru kebangsaan dengan masa empat minit 20.355 saat. Mereka memadamkan rekod lama 4:22.416s yang dilakukan pada 2014.