9 Pemain: Pro Dan Kontra Untuk Tan Cheng Hoe

0
1979

Selepas perlawanan persahabatan kelas A antara Malaysia menentang Mongolia yang berakhir dengan keputusan seri 2-2, pelbagai reaksi daripada netizen. Kebanyakkannya menunjukkan reaksi kecewa,tidak kurang juga sesetengah pihak menempelak pemain tidak memperagakan aksi yang baik. Malah, terdapat sesetengah pihak terus menghentam penjaga gol negara, Haziq Nadzli kerana dikatakan melepaskan gol yang mudah mengakibatkan beliau memuat naik status di twitter ” come here take my gloves and my boots and then you go play football”. Ianya mengundang kemarahan ramai pihak dan kami sendiri terkilan kerana bersikap tidak professional.

Tweet yang viral di laman sosial. Sumber: (Whatsapp)

Walaubagaimanapun, difahamkan Haziq telah memadam tweet tersebut. Selepas itu, timbul pula dakwaan 14 pemain JDT digugurkan dan digantikan dengan 9 pemain. Hal ini menyebabkan situasi semakin panas dan menimbulkan persoalan di kalangan peminat bola sepak tanah air akan kesahihan isu ini. Ia juga berikutan laporan  sebuah keratan akhbar yang menyifatkan kelab JDT mengharamkan pemainnya mewakili pasukan kebangsaan. Perkara ini dinafikan sekeras-kerasnya oleh pengarah teknikal mereka, Alistair Edward di laman rasmi mereka JOHOR Southern Tigers.

Kenyataan balas daripada pihak JDT. Sumber (JOHOR Southern Tigers)
Laporan sebuah akhbar yang melaporkan dakwaan tersebut.

Pihak Sportivo agak terkejut dengan dakwaan pihak media yang jelas seperti ingin melaga-lagakan peminat bola sepak di tanah air. Di samping itu, terdapat dakwaan yang menyatakan bahawa 9 pemain yang dibawa masuk adalah disebabkan desakan peminat. Satu persatu tuduhan dan kenyataan dikeluarkan melalui laman sosial yang tidak diketahui kesahihannya.

9 Pemain Dibawa Masuk

Di kem kebangsaan pula, ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe menjelaskan bahawa 9 pemain yang dibawa masuk sebagai penggiliran pemain bagi memberi peluang kepada mereka untuk beraksi menentang Lubnan pada 27 Mac dan Nepal pada 1 April.

Foto Football Association of Malaysia (Official).
Sumber (F.A.M)

“Kehadiran sembilan pemain ini bukannya untuk menggantikan mana-mana pemain atau bermaksud ada pemain yang telah digugurkan seperti dakwaan di media sosial, tetapi ia lebih kepada amalan penggiliran pemain”,ujarnya.

9 pemain tersebut adalah Zaquan Adha Abd Radzak (Kuala Lumpur), Shahrel Fikri Fauzi (PKNP), Jafri Firdaus Chew, Shahril Saari (PKNS), Nor Hakim Hassan, Nazirul Naim Che Hashim, Syazwan Zaipol Bahari (Perak), Syawal Nordin (Kedah) dan Kogileswaran Raj (Pahang).

“Ini juga disebabkan desakan segelintir penyokong yang mahu kita mencuba pemain lain untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya”,katanya.

PRO

  • Pendedahan Baru

Dalam hal ini, terdapat perkara positif dan sebaliknya. Ianya suatu pendedahan baru kepada pemain yang belum pernah menyarung jersi kebangsaan untuk membuat penampilan pertama di peringkat antarabangsa. Dalam 9 pemain itu, hanya Shahril Saari, Sayal Nordin dan Nor Hakim Hassan yang belum menyarung jersi kebangsaan. Sementara Syazwan Zaipol Bahari, R.Kogileswaran daripada skuad u23, mempunyai peluang membuat debut pertama bersama skuad senior dan Shahrel Fikri pernah dipanggil. Namun beliau tidak dapat diturunkan ketika aksi menentang Hong Kong kerana kecederaan yang menyaksikan Malaysia tumpas 0-3.

Musim ini Shahril menyertai PKNS daripada Sarawak. Sumber(sarawakcrocs.com)

Pemain ini antara yang menjadi tumpuan kami. Beliau memperagakan aksi yang baik bersama Sarawak musim lalu, dan menjadi calon penjaga gol terbaik untuk Anugerah Bola Sepak Kebangsaan yang dimenangi oleh Ifwat Akmal (Kedah). Musim ini beliau menyertai PKNS di bawah bimbingan Datuk K.Rajagopal dan menjadi antara tonggak penting PKNS di benteng terakhir. Sportivo pasti beliau antara pilihan utama untuk menjadi benteng terakhir negara namun beliau harus bersaing dengan seorang lagi penjaga gol berbakat, Hafizul Hakim.

  • Ketumpulan Serangan DiPerbaharui

Pada perlawanan yang lalu, penyerang negara Ahmad Hazwan Bakri gagal menghasilkan jaringan dan gagal mengancam pintu gol lawan. Walaupun di era bola sepak moden ini, tugas menjaringkan gol bukan pada penyerang sahaja, tetapi beliau gagal menghasilkan impak yang berkesan. Justeru itu, kami melihat pemilihan Shahrel Fikri boleh memperbaiki jentera serangan negara.

Sumber: Football Tribe

Beliau antara tonggak penting PKNP musim lalu, antara penyerang tempatan yang tajam di hadapan gol. Pilihan lain untuk Tan Cheng Hoe adalah Jafri Chew. Namun begitu, jika prestasi musim lalu dijadikan ukuran, kami merasakan Abd Malik Mat Arip antara pemain yang boleh menjadi pilihan. Beliau begitu tajam di hadapan gol dan menjadi penjaring terbanyak untuk saingan Liga Premier mewakili Kuantan FA. Musim ini, beliau diletakkan di bahagian penyerang sayap oleh Irfan Bakti untuk membentuk 3 gandingan yang diketuai Tchetche Kipre.

Malik, penyerang prolifik musim lalu. Sumber: Berita Harian

Kontra

  • Keserasian

Harus diingat, ini adalah skuad kebangsaan! Jika penggiliran yang dimaksudkan oleh Tan Cheng Hoe, ianya tidak semestinya memanggil pemain lain untuk menggantikan pemain yang sedia ada kerana itu bukan penggiliran tetapi ia rombakan. Penggiliran adalah gunakan pemain yang sedia ada di bangku simpanan untuk kesebelasan utama. Justeru, berilah hujah apa sekalipun, ianya tetap rombakan.

Apabila berlaku rombakan, keserasian dalam pasukan juga perlu ada dalam setiap pemain. Perkara ini perlukan masa untuk dibentuk dan jika berjaya ianya akan membawa hasil yang lumayan. Dalam perlawanan lepas, kita dapat lihat keserasian pemain tampak kelihatan cuma nasib tidak menyebelahi kita. Apabila rombakan ini sudah dilakukan, bagaimana untuk mencipta keserasian semula?

Latihan bersama pasukan boleh mencipta keserasian pemain. Sumber: absolutetravel.co.uk
  • DNA Pasukan

Seperti sedia maklum, sistem bola sepak Tan Cheng Hoe yang berasaskan pembinaan serangan daripada bawah dengan penggunaan hantaran pendek. Pengguguran pemain yang memiliki DNA berikut ketika mewakili kelab mereka adalah perkara yang merugikan kerana di kelab, pemain bermain mengikut taktikal yang berasaskan DNA bola sepak kelab tersebut.

Kesebelasan utama negara yang menjadi pertikaian kerana majoritinya dibarisi pemain JDT. Sumber: (F.A.M)

Tidak salah sekiranya dalam skuad negara dibarisi pemain daripada sebuah kelab demi mengekalkan DNA tersebut. Pada era 60-70 an, skuad kebangsaan rata-rata dibarisi pemain Selangor dan Pulau Pinang namun tiada isu yang ditimbulkan penyokong kerana mereka rakyat Malaysia. Skuad emas Sepanyol ketika menjuarai kejuaraan Eropah 2008 dan Piala Dunia 2010, kebanyakkannya dibarisi oleh pemain Barcelona dan Real Madrid.

Barangkali penyokong Sepanyol juga tidak bersetuju dengan pemilihan skuad, namun demi DNA bola sepak mereka berasaskan tiki-taka mereka tetap teruskan dan berjaya menguasai arena bola sepak antarabangsa dalam tempoh 4 tahun. Mereka berjaya mengekalkan kejuaraan Eropah pada tahun 2012 yang pernah dimenanginya 4 tahun sebelum itu.

Skuad emas Sepanyol 2010. Sumber: (worldsoccertalk.com)
  • Kuasa Jurulatih Hilang

Memetik semula kenyataan daripada Tan Cheng Hoe, ” Ianya juga disebabkan desakan segelintir penyokong yang mahu kita mencuba pemain lain untuk beraksi bersama Harimau Malaya”. Kenyataan tersebut menunjukkan bahawa beliau bertindak demikian untuk memuaskan hati segelintir penyokong yang mendesak beliau dalam melakukan tugasnya. Tan Cheng Hoe tidak perlu bertindak seperti itu kerana sukar untuk memuaskan hati semua pihak.

Pengumuman FAM berkenaan jawatan ketua jurulatih negara yang kini digalas oleh Tan Cheng Hoe. Sumber: (FAM)

Kita tidak perlu mendesak beliau ketika menjalankan tugas, sebaliknya berikan galakkan dan sokongan untuk membentuk dan melatih skuad kebangsaan. Apabila desakan seperti ini dibuat, kuasa beliau sebagai jurulatih akan hilang secara perlahan, keharmonian pasukan akan berkurangan, dan pemain tiada hati untuk bermain kerana desakan seperti ini. Selepas itu, skuad kebangsaan terus merosot prestasi, dan pihak media juga akan terus menambah asam garam dalam penulisan serta lahirlah sebuah naskah akbar di muka depan “Sotong Malaya memalukan negara!”. Kita? Terus menghentam dan mencaci rakyat sebangsa dan seagama kita. Tuntasnya, jurulatih meletak jawatan dan perkara ini akan terjadi pada jurulatih baru pula. Adakah kita mahu begitu?

Rumusan

Akhir kalam, tepuk dada tanya selera. Kita mahukan perubahan tetapi bersediakah kita untuk melakukan perubahan tersebut? Berhenti mencipta spekulasi dan perbalahan sesama sendiri hanya kerana bola sepak walhal sukan itu menyatupadukan kita semua. Memetik semula bait lagu daripada sebuah lagu, cukup cukup sudah~ cukup sampai disini saja~. Cukup setakat ini perbalahan kita dan sama-sama kita bersatu untuk memajukan bola sepak negara. Selamanya Harimau Malaya!

Terkini

Kami dimaklumkan bahawa perlawanan persahabatan membabitkan skuad negara menentang Nepal dibatalkan.

Makluman pembatalan perlawanan persahabatan. Sumber: GoalNepal.com
Kenyataan daripada pihak Nepal. Sumber: GoalNepal.com

Ini bermakna skuad kebangsaan akan beraksi menentang Lubnan sahaja atau ada pasukan yang akan menggantikan Nepal dalam perlawanan itu.