Hari ini bermulanya perasmian Sukan Komanwel 2018 di Queensland Gold Coast, Australia yang akan bermula pada 4 April hingga 14 April 2018. Temasya selama 10 hari itu akan disertai 71 negara komanwel yang akan bertanding dalam 275 acara untuk 19 jenis sukan. Australia berjaya memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah setelah mengatasi Sri Lanka dengan jumlah undian 43 berbalas 27. Sri Lanka ingin menjadikan bandar Hambantota sebagai bandar tuan rumah bagi aksi Sukan Komanwel 2018,namun terpaksa berpuas hati dengan jumlah undian yang cenderung memilih Gold Coast untuk destinasi temasya tahun ini. Berbekalkan slogan “Share the Dream”, beruang koala yang sinonim dengan masyarakat Australia dipilih sebagai maskot tahun ini yang diberi nama sebagai Borobi.
Memori 1998
Pada tahun ini genap 20 tahun Malaysia berjaya menganjurkan sukan berprestij tinggi seperti temasya Sukan Komanwel buat julung kalinya. Ketika negara berada dalam kegawatan ekonomi, kita masih mampu menjayakan temasya ini yang diadakan setiap empat tahun sekali ini. Malaysia berjaya menjadi wakil negara komanwel yang pertama dari Asia Tenggara memenangi undian sebagai tuan rumah dengan Kuala Lumpur dijadikan sebagai bandar untuk temasya ini. Kuala Lumpur berjaya mengatasi bandar Adelaide, Australia dengan keputusan 40 berbalas 27 undian.
Slogan “Bersama-sama Gemilangkannya (Together we’ll glorify this moment)” menjadi pilihan penganjur di samping haiwan orang utan dijadikan sebagai maskot bernama Wira. Acara dipertandingkan sebanyak 214 dalam 15 jenis sukan yang disertai 3638 atlet untuk 69 buah negara komanwel yang bertanding. Temasya 10 hari tersebut bermula pada 11 September hingga 21 September 1998 dan Stadium Nasional Bukit Jalil,Kuala Lumpur sebagai venue utama dalam penganjuran ketika itu.
Perasmian
Penulis masih mengingati hari perasmian tersebut yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil kerana ketika itu penulis juga berada disitu bersama keluarga. Upacara larian obor dilakukan dengan atlet angkat berat era 1950, Koh Eng Tong menjadi orang terakhir dalam upacara menyalakan obor. Seterusnya, perasmian berjaya disempurnakan oleh Yang Dipertuan Agong ketika itu, Alamrhum Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.
Berdasarkan gambar di atas, saling tak tumpah seperti perasmian Sukan Sea tahun lalu di venue yang sama, cuma ketika itu idea penghasilannya menggunakan ribuan manusia dan sepanduk untuk menghasilkan tulisan kreatif seperti itu. Walaupun teknologi belum berada di tahap yang baik, namun idea penghasilan itu cukup mengagumkan! Kumpulan sukarelawan itu dikenali sebagai Sokka Gokai yang dibarisi seramai 4840 dengan hanya menggunakan kad flip yang berwarna warni yang menggambarkan imej sukan, bendera negara komanwel yang terlibat serta menyampaikan mesej sukan pertama dalam 68 tahun penganjuran temasya ini.
Artis yang terlibat dalam konsert perasmian antaranya ialah Ziana Zain dan adiknya, Anuar Zain, Ning Baizura, Siti Nurhaliza, NurZila Mat Amin, Amy Mastura, Sheila Majid dan pelawak yang sedang meningkat naik ketika itu, Harith Iskander. Selepas itu, upacara bermula dengan ketibaan orang kenamaan antaranya Pengerusi Persekutuan Sukan Komanwel, Encik Michael Fennel, Sultan Brunei, Putera Edward, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Mahathir Mohammad, Menteri Belia dan Sukan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan perarakan atlet dari 69 negara yang diketuai oleh maskot Wira dan maskot edisi komanwel yang sebelumnya.
Perjalanan Temasya
Sepanjang temasya diadakan, lagu tema Sukan Komanwel 1998 berjudul Standing In The Eyes Of The World nyanyian ratu rock negara, Ella berkumandang sepanjang temasya tersebut. Lagu ciptaan Wan Idris itu berjaya mencuri tumpuan global sekaligus menjadikan Malaysia ketika itu berada di mata dunia. Ternyata pemilihan penyanyi manja itu bersesuaian dengan suara Ella yang serak basah dan cukup syahdu tika mendengarnya. Penulis sertakan video nyanyian Ella ini yang akan dikenang sebagai lagu tema sukan yang terbaik.
Aura lagu ini terlalu hebat sehingga menjadi siulan berdekad-dekad lamanya. Buktinya, ketika lagu tema Sukan Sea tahun lalu nyanyian Dayang Nurfaizah berjudul Bangkit Bersama gagal menambat hati pendengar di Malaysia. Bagi mengubati kerinduan peminat Ella, pihak penganjur menjemput Ella untuk mendendangkan sekali lagi lagu itu dalam acara penutupan Sukan Sea itu dalam malam yang penuh gilang gemilang dan mengimbau kembali kenangan ketika 1998. Ella yang tampil dengan penampilan baru berjaya memukau ribuan penonton yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil dengan vokal yang masih berbisa seperti 20 tahun yang lalu.
Rumusan
Malaysia berjaya menduduki tempat ke 4 dengan jumlah kutipan pingat sebanyak 36 pingat. 10 daripadanya adalah emas, 14 perak,dan 12 gangsa. Sementara itu, juara keseluruhan menjadi milik Australia dengan 199 kutipan pingat (80 emas, 61 perak, 58 gangsa).Walaupun hanya menduduki tempat ke 4, namun kita berjaya membuktikan bahawa kita berjaya memberi cabaran dengan negara lain dan berjaya menduduki 5 tangga teratas dalam penganjuran kali pertama itu. Antara detik emosi yang tidak dapat dilupakan peminat sukan negara sudah tentu kejayaan peninju negara, Sapok Biki memungut pingat emas selepas berjaya mengetepikan cabaran peninju Kenya, Moses Kinyua.
Selepas diumumkan sebagai pemenang, Sapok berlari ke seluruh gelanggang dengan menjulang gambar Perdana Menteri, Tun Mahathir sehingga menitiskan airmata kegembiraan. Itulah antara asam garam dan memoir Commonwealth Kuala Lumpur 1998. Kami dari Sportivo mengucapkan semoga berjaya kepada para atlet negara yang bertanding di Gold Coast ini. Majulah Sukan Untuk Negara. Malaysia Boleh! Penulis mengakhiri dengan bait lirik berikut:
Tiba masa, kau melangkah gagah
Bersemangat ke arah matlamat sedaya upaya,
Engkau terunggul, wajar standing in the eyes of the world