Misi Pertama: Harapan Yang Perlu Diselesaikan

0
235
MAS Training

Jurulatih baru skuad kebangsaan Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bakal memulakan tugas pertama pada malam ini dalam perlawanan persahabatan antarabangsa kelas A menentang Mongolia jam 8.45 malam. Ini adalah penampilan pertama beliau sebagai ketua jurulatih Malaysia selepas mengambil jawatan tersebut yang sebelum ini digalas oleh Nelo Vingada. Selain itu, skuad negara akan kembali beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil buat kali pertama tahun ini sejak perlawanan antarabangsa melibatkan pasukan ini dipindahkan ke Larkin pada tahun lalu.

Misi pertama Tan Cheng Hoe untuk memulihkan prestasi skuad negara ( Sumber: Four Four Two)

Pemilihan

Berikut adalah senarai pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih Tan Cheng Hoe. Kami mohon maaf sekiranya gambar tidak jelas.

Senarai 29 pemain yang dipanggil

Antara muka baharu yang pastinya mencuri tumpuan adalah 2 pemain JDT, Natxo Insa dan Corbin Ong selain daripada ketua pasukan Sabah, Rawilson Batui.

Selain itu, beberapa pemain yang beraksi cemerlang di kejohanan Piala AFC bawah 23 tahun di China yang lalu turut dipanggil. Antaranya, Haziq Nadzli, Akhyar Rashid, Syazwan Andik Ishak, Irfan Zakaria, Matthew Davies, Syahmi Safari, Safawi Rasid, Nor Azam Abdul Azih, Adam Nor Azlin dan Mohd Ariff Farhan menjadikan skuad kali ini adunan muka lama dan baharu. Selain itu, empat pemain yang pernah menjadi sandaran sebelum ini turut dipanggil oleh Tan Cheng Hoe. Antaranya, Mahalli Jasuli yang beraksi cemerlang bersama PKNS, Shahrul Saad, Hafizul Hakim(Perak), dan Kiko Insa( Bangkok Glass).

Walaubagaimanapun, perkhabaran buruk diterima daripada kem negara apabila 2 pemain mengalami kecederaan dan terpaksa ditukar dengan pemain lain. Pemain yang cedera ialah Nor Azam Azih dan Kiko Insa. Tan Cheng Hoe terus memanggil ketua pasukan u23 negara ketika Sukan Sea Kuala Lumpur, Adib Zainuddin untuk menggantikan Kiko menjadikan skuad negara mempunyai 28 pemain.

Kesebelasan Utama

Seperti sedia maklum, Tan Cheng Hoe telah menghasilkan sistem bola sepak moden ketika membimbing Kedah dengan formasi 4-2-3-1 menjadikan Kedah bermain bola sepak yang berasaskan hantaran pendek dan pantas dalam pergerakan. Kami mengharapkan beliau menggunakan pendekatan yang sama dalam skuad Harimau Malaya. Sukar untuk penulis membayangkan kesebelasan utama negara malam ini kerana kesemua 28 pemain mempunyai potensi yang besar untuk beraksi dalam kesebelasan utama. Justeru itu, penulis memilih kesebelasan utama ini berdasarkan pemerhatian kami tentang prestasi pemain negara. Kami memilih formasi kegemaran beliau, 4-2-3-1.

Penjaga Gol : Haziq Nadzli

Sumber: Inikan Bola

Selain mempunyai refleks yang baik dan keberanian untuk keluar dari garisan gol, beliau seorang pemain yang boleh membina permainan daripada bawah. Ianya bersesuaian dengan idea bola sepak Tan Cheng Hoe untuk membina serangan dari bawah.

Pertahanan Tengah: Fadhli Shas-Adam

Untuk pertahanan tengah kami memilih duo ini kerana keserasian mereka beraksi bersama. Adam adalah seorang pemain yang selesa mengawal bola manakala Fadhli adalah pemain yang boleh memenangi bola. Mereka boleh bertukar peranan dan memberikan sokongan dalam permainan antara satu sama lain menjadikan gandingan ini menjadi pilihan kami.

Bek Sisi : Matthew Davis – Corbin Ong

Ketika membimbing Kedah, Tan Cheng Hoe menggunakan bek sisi yang ofensif di kanan dan kiri. Pemain yang efektif dalam sistem ini adalah Rizal Ghazali namun atas kemerosotan prestasi, beliau tidak dipanggil oleh Tan Cheng Hoe. Justeru itu, Matthew Davis boleh menggalas tugas ini. Beliau seorang pemain yang mempunyai hantaran lintang yang baik selain mempunyai stamina tinggi untuk melakukan larian overlaping. Pilihan lain untuk Tan Cheng Hoe adalah Mahalli Jasuli dan Syahmi Safari.

Sumber: FoxSport Asia

Di bahagian kiri pula, Corbin Ong menjadi pilihan kami kerana keupayaan beliau dalam melakukan larian overlaping yang deras, mempunyai kekuatan fizikal dan boleh melakukan lontaran yang jauh. Inilah ciri-ciri seorang pemain bek sisi yang ofensif. Beliau juga mempunyai ketinggian yang baik untuk memenangi bola di udara. Pilihan lain kami adalah Fadzly Mazlan dan Syazwan Andik.

Pivot Berkembar: Natxo-Shahrul Saad

Sementara gandingan pivot berkembar, agak sukar untuk kami memilih kerana kebanyakan pemain boleh berperanan seperti Liridon-Amirul Hisyam. Namun begitu, kami merasakan Natxo Insa perlu ada dalam senarai. Hal ini demikian kerana beliau seorang all rounded player di bahagian tengah. Beliau boleh memainkan peranan Liridon kerana kawalan bola yang baik selain ketenangan mengawal jentera tengah pasukan. Selain itu, beliau juga boleh memainkan peranan Amirul Hisyam kerana ketenangan dalam mengawal bola serta mempunyai kualiti hantaran yang baik. Oleh sebab itu, beliau pernah dirisik oleh Nelo Vingada namun beliau menyatakan belum bersedia menyarung jersi kebangsaaan. Penampilan pertamanya pasti dinantikan seluruh peminat bola sepak tanah air.

Musim lalu, Natxo menjadi bualan di Malaysia

Kami memilih Shahrul Saad sebagi pasangannya kerana beliau mempunyai kadar kerja yang tinggi di atas padang. Seorang pemain yang boleh beraksi di beberapa posisi sama ada pertahanan, bek sisi, pemain tengah. Di Perak, beliau beraksi di bahagian tengah berperanan sebagai ball winning midfield.

Tengah Menyerang: Safawi-Safiq-Mahali Jasuli(Norhakim Hassan)

Kami memilih gandingan Safawi Rashid dan Wan Zack Haikal di bahagian sayap. Safawi adalah pemain yang mempunyai naluri menyerang yang baik selain sering melakukan larian kedalam kawasan penalti untuk memecahkan pertahanan lawan. Selain itu juga, beliau mempunyai kelajuan untuk mengelirukan pihak lawan dengan larian derasnya serta gelecekan bolak beliau.

Sementara itu, di bahagian kanan pula, Mahali mempunyai gaya permainan yang semakin meningkat. Beliau mempunyai kualiti hantaran lintang yang baik dan mempunyai fizikal yang kuat. Musim ini, beliau berada dalam prestasi yang cukup baik. Ribuan terima kasih diucapkan kepada Datuk K.Rajagopal yang mengembalikan semula sentuhan beliau. Pilihan lain adalah Norhakim Hassan kerana mempunyai kelajuan serta mempunyai kualiti hantaran lintang yang baik.

Prestasi cemerlang beliau berjaya memikat hati ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe

Seterusnya, penyerang kedua atau pemain tengah menyerang, kami memilih Safiq Rahim. Walaupun pemilihan beliau menjadi pertikaian peminat, namun pasti ada sebab mengapa Tan Cheng Hoe memanggil beliau. Safiq boleh beraksi selaku pemain tengah kotak ke kotak (box to box midfield). Walau bagaimanapun, beliau juga boleh bermain sebagai pemain tengah menyerang. Beliau mempunyai pengalaman yang luas di peringkat antarabangsa selain boleh memberi arahan pada rakan sepasukan untuk fokus dalam perlawanan.

Walaupun sering dicemuh, beliau masih mahu bermain untuk negara

Penyerang Tunggal: Ahmad Hazwan Bakri

Agak sukar untuk kami membuat keputusan untuk bahagian serangan kerana kami merasakan kita belum mempunyai penyerang yang tajam di hadapan gol. Namun begitu, dalam bola sepak moden pada masa kini, tugas menjaringkan gol bukan terletak pada penyerang sahaja. Justeru itu, kami memilih Ahmad Hazwan Bakri kerana kerajinan beliau dalam membuka ruang untuk rakan sepasukan untuk mengasak pihak lawan.

Beliau mempunyai daya kecergasan yang baik serta mempunyai larian yang deras. Penyudah kaki kirinya juga tidak mengecewakan. Namun begitu, beliau boleh berupaya membuka ruang untuk pemain lain menyerang kawasan pihak lawan dan kawalan bola yang baik.

Ini senarai lengkap barisan kesebelasan utama pilihan kami di Sportivo.

Rumusan

Senarai kesebelasan utama itu hanya pilihan penulis dan tidak mewakili mana-mana kelab bola sepak di Malaysia. Tiada masalah sekiranya ramai pemain daripada sebuah kelab dipilih menyarung jersi kebangsaan. Ketepikan seketika permusuhan di liga domestik, tetapi bersatu kita untuk menyokong pasukan negara. Seandainya kita tewas malam ini, janganlah dicaci mereka itu kerana kita adalah sama. Kita kibarkan bendera yang sama, menyanyikan lagu kebangsaan yang sama, berpegang teguh pada lafaz ikrar yang sama. Seperti kata pujangga pengulas tersohor negara, Allahyarham Datuk Hasbullah Awang ” Busuk-busuk Harimau Malaya pun orang kita juga”.

Apakah pandangan anda? Anda mempunyai bayangan kesebelasan utama negara malam ini? Sila kongsikan bersama kami di ruangan komen di bawah. Sekian, Majulah Sukan Untuk Negara!