JDT Vs Pahang: Bagaimana Perseteruan Tercipta di Malaysia

0
407

Malam ini, 1 pertemuan antara buku dan ruas yang sering menjadi perhatian ramai peminat bola sepak di Malaysia iaitu Jdt lwn Pahang. Ini adalah pertemuan untuk aksi suku akhir ke 2 Shopee Piala FA Malaysia 2018 yang akan berlangsung di Stadium Larkin, Johor. Ini pertemuan yang kedua antara 2 pasukan besar di Malaysia pada tahun ini di saingan Piala FA namun dalam saingan Liga Super, 2 pasukan ini akan membuat perhitungan pada 6 Jun 2018 di Stadium Larkin. 2 perseteruan pasukan ini sering menjadi tumpuan ramai termasuk daripada bukan penyokong 2 pasukan tersebut. Sportivo kali ini akan menceritakan bagaimana 2 pasukan ini mencipta perseteruan hebat sehingga hari ini.

Sumber: FourFourTwo

Sejarah Pertemuan

Perseteruan ini tercipta pada 2013 dalam aksi pertama saingan Liga Super 2013. Ketika itu pasukan JDT baru melakukan rebranding daripada Johor Fc kepada JDT oleh presiden merangkap pemilik kelab itu, Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Dalam pertemuan menarik itu yang diadakan di Stadium Darul Makmor, kemenangan berpihak kepada Pahang yang kembali bangkit daripada ketinggalan 0-2 kepada 3-2. Ia kekalahan pertama JDT dan terus menjadi bahan ejekan penyokong Pahang. Disinilah bermula segala permusuhan sehingga hari ini.

Kami bawakan sedutan perlawanan dramatik itu yang memihak kepada Pahang.

Sementara itu, Pahang yang baru dinaikkan ke Liga Super selepas cemerlang menjuarai Liga Perdana 2012 menggunakan beberapa pemain tempatan yang berpengalaman. Mereka masih mengekalkan Dollah Salleh sebagai ketua jurulatih dan Zainal Abidin Hassan sebagai penolong jurulatih. Mereka membawa masuk pemain import muda ketika itu iaitu Mathias Conti yang berjaya memikat hati penyokong Pahang dengan aksi beliau.

Kemudian dalam tahun yang sama, sekali lagi mereka bertemu dalam saingan di Piala FA yang memihak kepada JDT untuk layak ke perlawanan akhir buat kali pertama. Dalam aksi itu, terdapat beberapa isu kontroversi dan isu panas yang menjadikan hubungan antara 2 pasukan ini semakin tegang. Walaubagaimanapun, antara pertemuan yang paling dikenang adalah ketika perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 yang cukup dramatik berakhir dengan kemenangan memihak Pahang dengan penentuan penalti 5-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kontroversi

1. Stadium Melimpah

Isu panas dan kontroversi sering menghiasi pertemuan 2 gergasi ini. Dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala FA 2013 di Kuantan, stadium agak penuh sehingga melimpah ke kawasan balapan! Ini adalah peristiwa yang pertama pernah berlaku dalam arena bola sepak Malaysia sehingga mencetuskan rusuhan antara penyokong. Pihak pengurusan JDT memutuskan tidak akan bermain dan terus pulang ke Johor atas faktor keselamatan dan ia melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh FIFA seperti yang TMJ ceritakan baru-baru ini. Disinilah kekecohan bermula selepas pengumuman itu dibuat oleh pihak penganjur. Tuduh menuduh mula berlaku. Pihak tuan rumah menunding jari kepada penyokong pelawat kerana tidak menghormati tuan rumah manakala si pelawat menuduh tuan rumah yang tidak pandai mengatur acara seperti ini.

Akhirnya, perlawanan itu diubah kepada tarikh baru dan lokasi baru di Stadium Nasional Bukit Jalil yang berakhir dengan kemenangan yang memihak kepada JDT. Tidak cukup dengan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia mendenda 2 pasukan ini dengan Pahang berjumlah RM 100,000 manakala pihak JDT berjumlah 45,000.

2. Tifo Anjing Kepada FAM

Selain rusuhan buruk yang berlaku di Kuantan, ini juga antara peristiwa yang akan sentiasa menjadi bualan peminat bola sepak. Sehingga hari ini, isu pameran tifo ini menjadi perbualan dan perbalahan 2 pihak. Pameran tifo ini dilakukan oleh ultras JDT yang dikenali sebagai Boys Of Straits yang tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan FAM yang diterajui oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang dilihat sebagai melindungi Persatuan Bola Sepak Pahang yang dipimpin oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Bukan itu sahaja, prestasi skuad kebangsaan ketika itu yang tidak meningkat juga menjadi rungutan ramai. Oleh sebab itulah kain rentang itu dipamerkan.

Ianya mengundang rasa tidak puas hati oleh Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah yang menyifatkan insiden itu sebagai tindakan yang biadap. Kenyataan ini disokong oleh Setiausaha Agung FAM ketika itu, Datuk Hamidin Md Amin yang memuji tindakan PBNJ yang pantas memberkas 12 penyokong yang terlibat.

Kenyataan Tengku Puan Pahang di media sosial suatu masa dahulu.

Beberapa tahun kemudian, TMJ berjaya memenangi kerusi sebagai presiden FAM dan beberapa kenyataan dan tindakan yang dilakukan sering menjadi perhatian. TMJ menghentam Pahang yang tidak mahu bermain di saingan Piala AFC walaupun mendapat merit layak ke kejohanan tersebut. Berikutan kenyataan itu, sekali lagi ianya menjadi perbalahan antara penyokong JDT dan Pahang. Isu tifo anjing sekali lagi menjadi bahan ungkitan apabila Pahang menyuarakan untuk melakukan perkara yang sama seperti JDT lakukan ke atas kerabat diraja negeri mereka.

Suatu masa dahulu, penyokong JDT pernah menyifatkan Pahang adalah anak emas kepada FAM kerana pucuk pimpinan yang berasal dari Pahang dan beberapa keputusan dilihat dilakukan untuk melindungi Pahang. Selepas itu, Pahang pula menyifatkan JDT sebagai anak emas FAM berikutan presiden FAM dilihat sering datang ke Larkin bagi menyaksikan perlawanan yang melibatkan JDT. Seterusnya, perbalahan terus berterusan sehingga hari ini.

Terdapat beberapa lagi isu yang melanda 2 pihak ini, namun penulis merasakan 2 kontroversi yang dinyatakan adalah yang paling panas.

Rumusan

Pertembungan 2 pasukan ini sentiasa dihiasi dengan cerita-cerita yang menarik. Kami mengharapkan pertembungan malam ini menjanjikan perlawanan yang sangat sengit dan tidak diselubungi insiden yang buruk. Selamat maju jaya buat kedua-dua pasukan.