Futsal AFC: Malaysia Gagal Bangkit, Harapan Terkubur

0
173
Futsal Malaysia vs Bahrain

Skuad futsal negara terpaksa akur setelah tersingkir daripada Kejohanan Futsal AFC 2018 apabila tewas 1-3 ke atas Bahrain yang hanya menduduki ranking ke-93 dunia sekaligus meletakkan Malaysia di tangga tercorot Kumpulan A dengan sekadar mengutip 3 mata.

Sebelum perlawanan bermula, keempat-empat pasukan dalam Kumpulan A mempunyai peluang untuk layak ke pusingan suku akhir. Namun Malaysia gagal memanfaatkan peluang tersebut apabila hanya menang sekali sahaja ke atas Vietnam.

Skuad negara seperti dua perlawanan terdahulu leka di awal permainan dan membolehkan Bahrain mendahului seawal minit ke-3 apabila Ahmed Abdulnabi melakukan “back flick volley” hantaran lintang Mohamed Al Sandi daripada sebelah kiri.

Image may contain: 3 people, people playing sports
Kredit imej: Football Association of Malaysia

Ahmed Abdulnabi sekali lagi menjadi pemusnah buat skuad negara apabila menggandakan kedudukan apabila menerima hantaran jauh sebelum beliau merembat masuk untuk menewaskan Firdaus Razali 4 minit selepas itu.

Memerlukan sekurang-kurangnya satu mata untuk layak ke suku akhir, Malaysia bertindak balas dengan melakukan beberapa percubaan tepat namun penjaga gol Bahrain dilihat cemerlang mempertahankan gawangnya sehingga tamat separuh  masa pertama dan mengekalkan kedudukan 2-0.

Bermula separuh masa kedua, Bahrain terus cuba menjarakkan kedudukan namun Firdaus Razali cemerlang menyalamatkan gawang Malaysia dua kali berturut-turut daripada Al Sandi dan Falah Abbas yang membuat percubaan ke atas bola muntah.

Bahrain akhirnya kehilangan penjaga gawang mereka, Sayed Mohamed yang banyak menafikan percubaan Malaysia terpaksa di usung keluar akibat kecederaan dan di gantikan oleh Sayed Fadhel ketika perlawanan berbaki 12 minit.

Image may contain: 8 people, people playing sports
Kredit imej: Football Association of Malaysia

Dalam keadaan masa yang semakin suntuk, Malaysia menggunakan taktikal “power play” dalam usaha untuk mengurangkan defisit gol dan ianya berhasil apabila Syed Aizad merembat deras ke penjuru kanan gawang Bahrain untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Namun kelebihan satu pemain ketika menyerang gagal dimafaatkan Malaysia apabila Bahrain kekal mempertahankan gawang mereka. Bermain tanpa penjaga gol, inilah risiko yang perlu dihadapi Malaysia apabila serangan dipatahkan dan Al Sandi melakukan percubaan tinggi jarak jauh terus ke gawang Malaysia yang tidak dikawal.

Gol itu sekaligus mematahkan harapan suad negara untuk bangkit ketika masa berbaki hanya 30 saat lagi. Tiupan wisel terakhir mengesahkan kemenangan buat Bahrain dan Malaysia terpaksa pulang awal daripada kejohanan ini.

Dalam satu lagi perlawanan, Vietnam juga mencatat kemenangan 3-1 keatas Chinese Taipei dan meletakkan mereka selaku juara Kumpulan A. Ini bermakna Vietnam dan Bahrain bakal meneruskan cabaran Kumpulan A di peringkat suku akhir.

Baca juga: Futsal AFC: Kebangkitan Malaysia Dipintas Di Penghujung Perlawanan Oleh Chinese Taipei