Episod 1-Lagenda Piala Dunia: Lev Yashin, Manusia Pertama Meraih Ballon D’Or Sebagai Penjaga Gol

0
254

Penantian yang dinanti semakin tiba. Kini hanya tinggal 59 hari sahaja lagi temasya bola sepak paling besar di muka bumi iaitu Piala Dunia yang akan dibarisi pemain-pemain handalan dunia mewakili negara masing-masing. Venue kali ini di Rusia yang berjaya memenangi bidaan hak sebagai tuan rumah pada tahun ini menewaskan Belgium, Belanda, England, Portugal dan Sepanyol. Sehubungan itu, pihak Sportivo berbesar hati memperkenalkan slot terbaru berjudul Lagenda Piala Dunia yang akan mula disiarkan setiap Isnin hingga tamat kempen Piala Dunia. Sebagai pengenalan, lagenda ini akan dipilih secara rambang bermula era 50 hingga ke zaman bola sepak moden.

Permulaan

Untuk episod pertama, kami memilih Lev Yashin sebagai lagenda minggu ini. Beliau adalah pemain yang bermain sebagai penjaga gol untuk negaranya Soviet Union yang kini dikenali sebagai Rusia. Beliau cukup dikenang sebagai seorang penjaga gol yang cukup hebat dan tiada galang gantinya sehingga pernah memenangi anugerah pemain terbaik dunia, Ballon D’Or. Oleh sebab itu, nama dan gambar beliau berada dalam poster untuk Piala Dunia kali ini.

Poster rekaan Igor Gurovich

Yashin atau nama penuhnya, Lev Ivanovic Yashin dilahirkan pada 29 Oktober 1929 di Moscow dalam keluarga sederhana. Keluarganya adalah pekerja yang bekerja dalam sektor perindustrian. Ketika perang dunia kedua meletus, beliau yang ketika itu berusia 12 tahun dipaksa bekerja untuk menampung kesusahan hidup dalam peperangan. Walaubagaimanapun, atas faktor kesihatan, beliau tidak dapat meneruskan pekerjaan itu. Ketika usianya mencecah 18 tahun, Yashin kemudiannya bekerja di kilang militari di Moscow. Pada ketika itulah bakat beliau dalam bola sepak mula dikesan ketika bermain mewakili kilangnya sehingga diserap masuk ke skuad muda Dynamo Moscow.

Kerjaya di Kelab

Sepanjang kerjaya beliau sebagai pemain bola sepak, hanya Dynamo Moscow kelab tunggal yang diwakili oleh beliau. Yashin memulakan kariernya pada tahun 1950 dengan penampilan pertamanya dalam sebuah perlwanan persahabatan. Namun, aksi pertamanya mendapat kritikan selepas melepaskan gol mudah sehingga beliau diketepikan dalam sehingga tahun 1953. Sesuatu yang menarik tentang beliau ialah beliau juga mampu bermain sebagai penjaga gol dalam sukan hoki ais untuk memikat hati jurulatih Dynamo Moscow. Hasilnya, beliau berjaya membantu pasukan hoki ais Dynamo Moscow menjuarai liga hoki ais sebanyak 3 kali sebagai penjaga gol!

Beliau akhirnya berjaya menjadi penjaga gol utama untuk pasukan mengenepikan rakan sepasukan merangkap idolanya, Alexei “Tiger” Khomich yang juga penjaga gol utama untuk Soviet Union. Yashin kemudiannya tidak menoleh kebelakang apabila terus menyarung jersi Dynamo dan membuat 326 penampilan dalam 22 musim dan berjaya membantu Dynamo menjuarai liga USSR sebanyak 5 kali, dan Piala USSR sebanyak 3 kali.

Kerjaya Antarabangsa

Di peringkat antarabangsa, Yashin mula menyarung jersi kebangsaan pada 1954 sehingga 1967. Beliau membuat 78 penampilan dengan USSR dan telah bermain di 3 kejohanan Piala Dunia iaitu pada 1958,1962 dan 1966 selain berjaya membantu USSR meraih pingat emas Sukan Olimpik di Melbourne pada 1956, dan menjuarai kejohanan Eropah pada 1960.

Pada Piala Dunia 1958 yang diadakan di Sweden, Yashin berjaya membantu USSR melangkah hingga ke suku akhir namun tewas keatas Brazil 2-0. Walaunagaimanapun, aksi beliau mencuri tumpuan global sehingga beliau dicalonkan dalam pasukan All Star Piala Dunia. Kemudian pada tahun 1960 dan 1961, beliau menerima percalonan pemain terbaik dunia namun hanya sekadar berpuas hati menduduki tempat kelima dan keempat.

Selepas menerima percalonan itu, namanya terus hangat di kalangan peminat bola sepak global sehingga Piala Dunia 1962, beliau sekali lagi membantu USSR layak ke suku akhir. Walaubagaimanapun, pada aksi terakhir menentang Colombia, USSR selesa mendahului 4-1. Entah dimana silapnya, Yashin bolos sebanyak 3 kali dengan gol mudah termasuk 1 gol mudah menerusi tendangan sudut secara terus oleh Marcos Coll. Ia adalah jaringan pertama dalam sejarah penganjuran Piala Dunia FIFA menerusi tendangan sudut secara terus. Perlawanan tamat dengan kedudukan 4-4 dan beliau menerima kritikan hebat susulan persembahan buruknya dan dikatakan itu adalah penamat kerjaya Yashin dalam bola sepak oleh sebuah akhbar Perancis iaitu l’Equipe.

Selepas kecewa di Piala Dunia 1962, Yashin kembali dengan kejayaan apabila berjaya meraih pemain terbaik dunia, Ballon D’Or pada 1963. Sehingga kini, belum ada lagi pemain di kalangan penjaga gol yang meraih anugerah itu walaupun penjaga gol lain seperti Manuel Neuer mendapat percalonan pada Ballon D’Or 2015. Ini menunjukkan beliau berada di kelas yang tersendiri yang sukar dicabar oleh penjaga gol yang lain. Di Piala Dunia 1966, beliau berjaya membantu USSR menduduki kedudukan yang lebih baik apabila berjaya menduduki trmpat keempat yang ketika itu dijuarai oleh tuan rumah England.

Labah-Labah Hitam

Gelaran ini diperoleh susulan persembahan hebat beliau ketika perlawanan persahabatan menentang England yang memihak kepada England dengan keputusan 2-1. Dalam aksi itu, beliau membuat berjaya menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya daripada pemain England seperti Bobby Moore dan lain-lain lagi. Oleh sebab itu, beliau mendapat gelaran labah-labah hitam kerana penampilan yang suka memakai pakaian lengkap berwarna hitam sehingga ada yang mengatakan beliau mempunyai 8 tangan! Namun begitu, dikalangan peminatnya di Rusia, beliau mendapat jolokan harimau kumbang kerana masyarakat disana cukup gemar dengan harimau.

Corak Permainan

Beliau adalah penjaga gol klasik yang sangat berani menyelamatkan bola. Berbekalkan ketinggian yang bagus dan mempunyai refleks yang baik, cukup untuk menggentarkan mana-mana penyerang dunia ketika waima Pele sekalipun. Yashin adalah penjaga gol yang gemar bersuara di belakang untuk memberi arahan kepada pertahanan, dan akan keluar memotong hantarn lintang secara rendah mahupun tinggi. Ketika ditanya oleh media apakah rahsia di sebalik prestasi hebat beliau, Yashin akan menjawab ” Anda harus merokok untuk menenangkan saraf anda, dan minuman keras untuk melatih otot anda”. Kenyataannya itu seolah-olah beliau tidak mahu berkongsi tips untuk menjadi hebat seperti beliau.

Seperti yang dinyatakan di atas, beliau adalah satu-satunya penjaga gol yang memenangi anugerah tertinggi bola sepak iaitu Ballon D’Or. Sepanjang kariernya, Yashin telah menghasilkan 270 clean sheet dan telah menyelamatkan 151 tendangan penalti, sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh penjaga gol dunia ketika ini. Oleh sebab itu, beliau menerima anugerah darjat kebesaran tinggi oleh pemimpin tertinggi atas jasa dan sumbangannya kepada negara. Beliau mendapat anugerah itu pada 1967 yang dikenali sebagai  Order of Lenin. Selain itu, sebuah tugu peringatan untuk Yashin dibuat di luar Stadium Dynamo di Moscow.

Tugu peingatan Yashin di Moscow

Epilog

Di penghujung karier, Yashin menghabiskan masa selama 20 tahun menjadi ketua bahagian dalam kelab Dynamo sebelum menghembuskan nafas yang terakhir pada 20 Mac 1990 akibat kanser perut. Beliau meninggalkan seorang balu, Valentina Timofeyevna dan dua anaknya, Elena dan Irina. Cucu lelakinya, Vrasili Frolov kini bermain di kelab lama datuknya, Dynamo Moscow juga sebagai penjaga gol.

Kepada yang belum melihat aksi beliau, kami bawakan sedikit aksi beliau yang cukup hebat dan berkelas dunia.

Rumusan

Sehingga kini, Yashin masih lagi penjaga gol tunggal yang memenangi Ballon D’Or. Walaupun beliau gagal membantu USSR merangkul kejuaraan dalam Piala Dunia, namun kesungguhan dan aksi beliau bersama skuad kebangsaan USSR amat membanggakan. Pada 1994, FIFA pernah mencipta anugerah Lev Yashin dan menamakan beliau sebagai penjaga gol terbaik sepanjang zaman. Majalah Bola Sepak Dunia juga menamakan beliau sebagai 100 pemain terbaik di abad ke 20.

Akhir kata, Lev Yashin adalah individu yang pernah dilahirkan untuk mewarnai arena bola sepak global. Sekian sahaja daripada kami dengan ucapan родился, чтобы любить кубок мира (born to love the world cup).