Arsene Wenger Tinggalkan Arsenal

0
283

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger telah mengumumkan akan meninggalkan Arsenal pada penghujung musim ini selepas membimbing kelab itu selama 22 musim. Wenger menjadi pengurus yang membimbing kelab utara London kedua paling lama dalam sejarah Liga Perdana Inggeris selepas pengurus Man United, Sir Alex Ferguson yang membimbing Man United selama 27 tahun. Ianya pasti akan menjadi kenangan selepas pahit jerih beliau untuk menaikkan kelab tersebut. Beliau mula memegang jawatan sebagai pengurus Arsenal sejak 1996 sehingga hari ini.

Wenger membuat pengumuman mengejut itu beberapa minit yang lalu selepas sesi latihan skuadnya bagi membuat persiapan menentang West Ham di Stadium Emirates Ahad ini. Beliau yang telah menandatangan kontrak lanjutan 2 tahun musim panas lalu telah mencapai kata sepakat dan bersetuju dengan desakan penyokong. Dalam kenyataannya di laman web rasmi Arsenal, “Selepas mengambil kira keputusan dan perbincangan bersama, saya fikir sudah tiba masa untuk saya mengundur diri meninggalkan kelab ini. Saya bersyukur kerana diberi kepercayaan membimbing kelab ini sehingga ke hari ini. Terlalu banyak kenangan manis dan pahit disini”.

“Saya memberikan sepenuh integriti dan komitmen yang penuh kepada kelab ini. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada staf, pemain, pengarah kelab dan penyokong yang menjadikan kelab ini begitu istimewa dalam diri saya. Saya ingin mengajak penyokong supaya terus memberikan sokongan penuh sehingga kelab ini berada di kedudukan tertinggi. Kasih dan sokongan saya akan sentiasa berada di sini untuk selamanya”.

Wenger memulakan tugasnya di kelab London ini pada September 1996. Beliau berjaya mencuri tumpuan di England dengan falsafah bola sepaknya dan prinsipnya untuk membentuk pemain muda berbakat menjadi bintang ternama. Antara pemain yang berjaya digilap beliau sehingga menjadi bintang ternama ialah Patrick Vieira dan Emmanuel Petit. Selain itu, beliau juga berjaya membawa masuk Thierry Henry dan menjadi antara penyerang terbaik yang pernah dimiliki oleh kelab itu.

Henry menyertai Arsenal dari Juventus pada 1999

Pencapaian terbaik beliau sepanjang membimbing kelab ini ialah berjaya menjuarai Liga Perdana Inggeris dengan rekod tanpa kalah pada musim 2004. Sehingga kini, rekod itu belum dapat dileburkan oleh mana-mana kelab di England. Di bawah pimpian beliau, Arsenal berjaya menjadi juara liga sebanyak 3 kali dan juara Piala FA sebanyak 7 kali. Pada tahun 2006, Arsenal berjaya mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah tetapi tewas tipis keatas Barcelona, 2-1.

Walaubagaimanapun, selepas kejayaan itu, Arsenal menghadapi kemarau piala selama 12 tahun. Bukan itu sahaja, Wenger juga dikritik hebat selepas melepaskan beberapa pemain bintang ke kelab lain seperti Thierry Henry, Cesc Fabregas, Samir Nasri, Robin Van Persie dan yang terkini Alexis Sanchez. Wenger dianggap sebagai pengurus yang lebih memikirkan keuntungan kelab dan tangga ke 4 liga berbanding trofi kejuaraan.Hal ini kerana sepanjang tempoh itu, Arsenal cemerlang menamatkan saingan liga di tangga ke 4. Beliau juga pernah mencatatkan beberapa kekalahan memalukan seperti musim lalu tewas kepada Bayern Munich dengan agregat 10-2! Kekalahan itu adalah kekalahan terburuk kelab itu dalam saingan Eropah.

Pemegang saham kelab itu, Stan Kroenke ternyata sukar untuk menerima keputusan itu. Dalam kenyataannya, “Ini merupakan hari yang menyedihkan buat peminat bola sepak di seluruh dunia. Antara penyebab utama kami terlibat dengan Arsenal adalah kerana apa yang Arsene lakukan sama ada di dalam mahupun di luar padang. Perkhidmatan beliau yang panjang selain berjaya mengekalkan konsistensi adalah perkara yang sukar diatasi oleh mana-mana individu,”ujarnya.

“Arsene adalah individu yang mempunyai kelas yang tersendiri dan tiada tandingannya. Semua pihak menyayangi Arsenal dan semua pihak kagum dengan cara Arsene melangsaikan hutang kelab ini. 3 kali kejuaraan liga domestik termasuk satu musim tanpa sebarang kekalahan, 7 kali juara Piala FA dan 20 tahun menyertai pertandingan di Liga Juara-Juara Eropah adalah rekod yang sangat hebat. Beliau juga adalah individu yang mengubah identiti kelab ini dan bola sepak Inggeris dengan sistem beliau yang menghiburkan”,katanya lagi.

Pengumuman itu menunjukkan bahawa era bola sepak klasik telah berakhir. Terima kasih Arsene Wenger kerana telah menghiburkan kami dengan falsafah bola sepak anda dan telatah anda di padang selama 22 tahun. Penulis sendiri tidak pasti sama ada pengumuman ini adalah berita sedih buat penyokong The Gunners atau sebaliknya. #WengerOut.