9 Perseteruan Panas Dalam Sukan

0
377

Sukan adalah suatu aktiviti sihat yang baik untuk fizikal dan minda yang cerdas. Ia juga satu perkara yang boleh menyatupadukan masyarakat majmuk dalam sebuah negara atau bangsa. Namun begitu, dalam persaingan sukan pastinya akan ada persaingan secara sihat mahupun secara kotor untuk meraih kejayaan. Ada di antaranya bertukar menjadi dendam, perbalahan di kalangan peminat, tidak menghormati pihak lawan sehingga keluar kata-kata kesat. Justeru itu, Sportivo kali ini akan mengupas 9 perseteruan dalam acara sukan sepanjang zaman.

1. Cristiano Ronaldo vs Lionel Messi ( Bola Sepak)

Aksi 2 pemain hebat ini sentiasa dinantikan peminat bola sepak global. Lebih menarik, 2 pemain ini beraksi bersama pasukan yang menjadi musuh selama berdekad iaitu Real Madrid dan Barcelona. Perseteruan mereka sentiasa menjadi perdebatan di media mahupun di kalangan peminat bola sepak itu sendiri. Ronaldo adalah produk keluaran akademi Sporting manakala Messi adalah daripada akademi La Masia sendiri.

Sejak 2008, pemenang Ballon D’Or sentiasa dikuasai oleh mereka. Kedua-duanya telah meraih 5 gelaran sebagai pemain terbaik dunia sekaligus meletakkan mereka sebagai pemain terbaik dunia sepanjang zaman. Walaupun musuh di padang, namun hubungan mereka agak baik tika berada di luar padang. Malah, anak kepada Ronaldo iaitu Ronaldo jr menjadikan Lionel Messi sebagai idolanya.

Ronaldo jr sewaktu bertemu Messi dalam Ballon D’Or

Namun begitu, usia mereka akan semakin meningkat dan akan tiba pengumuman untuk persaraan dibuat. Perkara itu akan berlaku suatu hari nanti dan pastinya akan ditangisi oleh peminat bola sepak di seluruh dunia.

2. Rafael Nadal vs Roger Federer (Tenis)

2 pemain daripada negara berbeza ini mencipta perseteruan hebat antara satu sama lain. Pertembungan ini dinamakan sebagai Fedal dengan 38 perlawanan, 23 daripadanya dimenangi oleh Nadal dan 15 memihak Federer. Sepanjang pertemuan tersebut, 20 daripadanya di gelanggang simen, 15 gelanggang tanah liat dan 3 di gelanggang rumput.

Hubungan mereka agak professional dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Namun begitu, kadangkala berlaku serangan psikologi untuk merancakkan bahang sebelum perlawanan. Federer pernah mengatakan permainan Nadal terlalu perlahan manakala Nadal pernah mengkritik Federer sebagai pemain yang penakut dan tidak berani bersuara ketika isu jadual perlawanan dan wang hadiah yang dimenangi.

Walaubagaimanapun, perseteruan 2 pemain ini akan sentiasa menjadi bualan dan perdebatan sampai bila-bila. Malahan, mereka antara pemain tenis terbaik dunia yang pernah dilahirkan dan tiada galanf gantinya.

3. Valentino Rossi vs Marc Marquez(Motor GP)

Sumber: detik.com

Penulis yakin insiden perlanggaran 2 pelumba dalam perlumbaan semalam menjadi tajuk utama di kedai kopi sepanjang hari ini. Difahamkan selepas perlumbaan, Marquez tampil ke kru pasukan Yamaha untuk memohon maaf kepada Rossi namun beliau dihalau oleh Rossi dan krunya menjadikan permusuhan 2 penunggang ini semakin panas.

Sepanjang karier Rossi dalam perlumbaan motorsikal, beliau mempunyai ramai pesaing yang ingin mencabar beliau seperti Casey Stoner, mendiang Nicky Hayden, Max Biaggi dan ramai lagi. Namun begitu, bagi Rossi pencabarnya yang paling biadap adalah Marc Marquez. Pelumba yang berusia 25 tahun itu pernah mengatakan idolanya adalah Valentino Rossi. Tetapi cara tunggangan beliau yang ekstrem sehingga membahayakan penunggang lain termasuk Rossi sendiri. Rossi pernah menegur pelumba itu namun ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Kemuncak permusuhan itu berlaku dalam saingan di litar Sepang 2015 apabila Rossi dilihat menendang Marquez sehingga terjatuh. Walaubagaimanapun, Rossi menafikan perkara tersebut selepas perlumbaan. Permusuhan itu berlarutan sehingga kini dan tagline “Kami rider tiada beza” sudah padam dalam kamus mereka.

4. Lee Chong Wei vs Lin Dan(badminton)

Seperti Federer-Nadal, perlawanan yang melibatkan 2 pemain ini sentiasa dinantikan dan berlangsung dengan dramatik. Penulis yakin rakyat Malaysia pasti tidak dapat melupakan debaran perlawanan separuh akhir yang melibatkan mereka di Sukan Olimpik 2 tahun lalu.

Berdasarkan rekod 40 pertemuan, Lin Dan unggul dengan 28 kemenangan dan 12 kali tewas di tangan Chong Wei. Sepanjang karier Chong Wei sebagai pemain, Lin Dan adalah pemain yang kerap mengecewakan beliau dan seluruh rakyat Malaysia. Namun begitu, permusuhan di gelanggang tidak berlarutan sehingga ke luar gelanggang.

Chong Wei ketika menjadi tetamu di China

Chong Wei pernah dipelawa beraksi dalam perlawanan persahabatan bersama Lin Dan sebagai beregu. Selepas itu beberapa siri perlawanan persahabatan dianjurkan dan 2 pemain ini sentiasa menjadi jemputan.

5. Micheal Schumacher vs Mika Hakkkinen (F1)

Ketika Formula 1 sangat popular di era 90 an dan awal 2000, 2 pelumba ini sentiasa menjadi tumpuan peminat dan pihak media. Schumacher yang ketika itu memandu jentera Ferrari sentiasa dibayangi Hakkinen yang memandu jentera Mclaren. 2 pelumba ini mencipta fenomena sehingga mencipta perseteruan antara Mclaren dan Ferrari.

Podium no 1 dan 2 sentiasa dihuni oleh mereka. Schumacher sendiri pernah mengatakan bahawa Hakkinen adalah pelumba yang sukar untuk disaingi. Kini, aura Formula 1 tidak sehebat dahulu malah tidak ada perseteruan lain yang lebih hebat selain daripada Schumacher dan Hakkinen.

6. Muhammad Ali vs Joe Frazier(Tinju)

Kita selusuri mesin masa di zaman 70an, 2 peninju hebat ini menyajikan pertarungan hebat pada ketika itu. Mereka bertemu sebanyak 3 kali, 2 daripadanya dimenangi oleh Ali. Perlawanan yang disajikan mereka cukup menarik dan dramatik. Kedua-duanya bertarung sehingga ke pusingan terakhir. Pertemuan paling epik adalah kali ke 3 di Filipina yang digelar sebagai Thrilla in Manila.

Wajah Ali dan Frazier selepas perlawanan Thrilla in Manila

Dalam perlawanan tersebut, mereka cuba untuk mencapai kemenangan dengan KO namun sekali lagi keputusan juri perlawanan digunakan dan memihak kepada Ali. Selepas pertarungan itu, tiada lagi pertarungan antara 2 peninju ini berhadapan satu sama lain.

7. Manuel Pacquiao vs Juan Manuel Marquez(tinju)

Dalam acara sama tetapi kategori berat yang berbeza, perseteruan 2 peninju ini juga tidak kurang hebatnya. Marquez adalah satu-satunya peninju yang mampu menyusahkan Pacquiao sehingga pusingan terakhir. 2 peninju ini bertemu sebanyak 4 kali dan pertarungan terakhir dimenangi oleh Marquez secara KO.

3 pertemuan awal memihak kepada Pacquiao melalui keputusan juri. Namun penulis mengharapkan akan ada pertembungan yang ke 5 kerana setiap pertarungan mereka pasti berlangsung sengit.

8. Ken Shamrock vs Tito Ortiz(UFC)

Sementara di gelanggang oktagon, perseteruan mereka agak panas sehingga mengundang carutan dan makian antara satu sama lain. Berdasarkan rekod 3 pertemuan, Ortiz unggul menang kesemunya secara KO.

Ortiz pernah menyelar Shamrock sebagai seorang yang tidak layak berlawan dengannya dan tidak ubah seperti beg penumbuk. Shamrock memberikan respon bahawa beliau berani untuk berhadapan dengan Ortiz dimana sahaja. Walaubagaimanapun, selepas tewas kali ke 3, Shamrock tidak lagi mencabar Ortiz di gelanggang oktagon.

9. Justine Henin Hardene vs Kim Clijsters(tenis)

Ramai beranggapan bahawa permusuhan Maria Sharapova dengan Serena dan Venus, tetapi bagi kami perseteruan 2 pemain ini lebih mencuri tumpuan. Mereka berasal di negara yang sama iaitu Belgium tetapi berbeza wilayah dan bahasa. Justin Henin berasal dari Liege yang terletak di wilayah Wallonia. Bahasa yang digunakan dalam komunikasi seharian ialah bahasa Perancis. Clijsters pula dilahirkan di Bilzen yang terletak di wilayah Flamande dan bahasa komunikasi menggunakan bahasa Belanda.

2 wilayah antara Flamande dan Wallonia ini adalah gabungan yang membentuk sebuah negara iaitu Belgium. Walaubagaimanapun, 2 wilayah ini saling bercakaran antara satu sama lain daripada segi perbezaan fahaman politik, bahasa dan lain-lain lagi. Oleh sebab itu, perseteruan Clijsters dan Justin Henin tidak ubah seperti pertarungan wakil wilayah mana yang lebih baik.

Peta wilayah Belgium yang digabungkan. Clijsters di Flanders, Justin Henin di Wallonia.

Untuk rekod pertemuan, mereka bertemu sesama sendiri sebanyak 25 kali sepanjang 20 tahun penglibatan dalam tenis. Pertemuan pertama berlaku pada tahun 1998 yang memihak kepada Justin Henin. Pada tahun 2001, mereka bertemu sesama sendiri di peringkat separuh akhir Grandslam Terbuka Perancis. Mereka ingin menjadi pemain Belgium pertama ke final kejohanan Grandslam. Perlawanan bersejarah itu akhirnya dimenangi oleh Clijsters dalam permainan 3 set namun beliau tewas di pentas akhir keatas Jennifer Capriati.

Sejurus tamat perlawanan bersejarah dalam kejohanan Grandslam Terbuka Perancis.

Perseteruan mereka tidak terhenti disitu apabila 2 minggu selepas itu mereka bertemu di kejohanan Terbuka Heinneken yang memihak Henin. Perseteruan itu terus berpanjangan sehingga mereka bersara. Apa yang menarik apabila salah seorang bersara, musuhnya akan menyusul juga. Ini yang berlaku apabila Clijsters keluar daripada persaraan pada 2009, Henin juga keluar dari persaraan pada 2010.

Henin pernah mempersoalkan semangat kesukanan Clijsters yang menewaskan beliau di kejohanan Wimbledon 2003 ketika beliau cedera di siku. Sejurus kenyataan itu dibuat, Clijsters mengatakan kecederaan yang dialami Henin ketika itu hanya sandiwara untuk simpati pengadil. Selepas persaraan kedua dibuat oleh Henin, sekali lagi beliau menyerang kembali Clijsters dengan dakwaan pukulan forehandnya adalah tidak sah ketika aksi kontroversi di Terbuka Australia 2004. Perseteruan mereka berakhir di Sukan Olimpik London 2012 dan Henin mengatakan ” permusuhan saya dan Clijsters antara perkara hebat dalam hidup saya”.

Rumusan

Permusuhan dalam sukan boleh melonjakkan semangat atlet untuk mencapai kejayaan. Kadangkala terbitnya sebuah drama yang akan dikenang oleh kita semua. Drama seperti ini lebih seronok untuk ditonton berbanding drama yang mengisahkan pewaris syarikat mahupun si kaya berkahwin dengan si miskin.