5 Kejutan Yang Pernah Berlaku Dalam Sukan Global

0
2605

Kami pasti anda masih bercerita tentang kebangkitan luar biasa pasukan AS Roma yang berjaya menewaskan Barcelona dengan keputusan 3-0 dan melangkah ke separuh akhir berdasarkan peraturan gol di tempat lawan. Ini merupakan kejayaan yang bermakna buat mereka kerana bukan sahaja menang ke atas pasukan kuat, tetapi berjaya mengakhiri penantian selama 35 tahun untuk mara ke peringkat separuh akhir. Kali terakhir mereka mara sehingga ke perlawanan akhir pada 1983 namun tewas kepada Liverpool menerusi penentuan penalti 2-4. Berikut reaksi pemain selepas perlawanan pagi tadi.

Sportivo kali ini akan mengajak anda untuk mengimbau 5 peristiwa dalam sukan yang pernah mengejutkan dunia. Ianya merangkumi kejayaan, kekalahan, insiden dan lain-lain lagi.

1. Greece,Juara Eropah 2004

Penulis berpendapat kejayaan Greece sebagai juara Eropah adalah lebih mengejutkan daripada kejayaan Leicester City menjuarai Liga Perdana Inggeris 2016. Hal ini demikian kerana ketika itu ramai pemain bintang yang berada di tahap terbaik. Dalam kejohanan ini, lahirlah beberapa pemain muda yang kini menjadi pemain handalan dunia seperti Zlatan Ibrahimovic, Wayne Rooney dan Cristiano Ronaldo. Selain itu, pemenang Ballon D’Or 2003, Pavel Nedved turut berada dalam prestasi terbaik ketika kejohanan ini.

Kejutan pertama dilakukan adalah apabila mereka berjaya menewaskan Perancis di suku akhir. Perancis ketika itu dibarisi pemain bintang yang lain seperti Zinedine Zidane, Fabian Barthez, Lillian Thuram, Thierry Henry dan beberapa nama lain lagi seperti Louis Saha yang sedang meningkat naik. Walaupun hanya keputusan 1-0, namun sudah cukup untuk menghantar skuad Perancis pulang awal ke kampung halaman masing-masing.

Kemudian di peringkat separuh akhir, Republik Czech menanti mereka. Skuad emas itu yang diketuai oleh Nedved juga hampa selepas tewas secara jaringan emas 1-0 sekaligus mencipta sejarah mara ke perlawanan akhir bertemu tuan rumah ketika iaitu Portugal. Seterusnya, rest is history.

2. Dustin Brown menewaskan Rafael Nadal(Wimbledon 2015)

Dalam kejohanan GrandSlam di Wimbledon, pemain yang kurang dikenali Dustin Brown diundi bertemu jagoan Sepanyol, Rafael Nadal. Brown mempamerkan permainan yang sangat bersahaja dan berjaya memerangkap Nadal dengan pukulan drop dan forehand yang baik. Beliau juga sangat fleksibel dalam permainan tersebut dan berani menerbangkan badannya di gelanggang rumput itu. Aksi bersahaja beliau berjaya memukau penonton yang berada di gelanggang tersebut. Ini kali kedua beliau mengecewakan Nadal selepas kali pertama berjaya melakukannya di Terbuka Halle 2014.

Selepas kejayaan itu, aksi beliau sentiasa dinantikan penonton. Beliau dilihat sebagai pemain baru yang akan menggegarkan persada tenis dunia dengan aksi bersahaja beliau yang sentiasa menarik dan memukau. Namun begitu, beliau gagal mengekalkan tahap konsisten dalam setiap perlawanan menjadikan beliau antara prospek sukan tenis yang gagal.

3. Schooling meraih emas dalam Olimpik Rio 2016(Renang)

Antara kejutan paling besar di Olimpik Rio 2016. Anak muda dari Singapura, Joseph Schooling berjaya mengejutkan dunia selepas meraih emas dalam acara 100 meter kuak kupu-kupu. Beliau bukan sahaja berjaya meraih emas, malah berjaya menewaskan jaguh renang dunia Micheal Phelps yang sekadar meraih perak. Beliau juga berjaya mencipta rekod baru apabila menjadi wakil dari Asia Tenggara yang pertama meraih emas dalam acara tersebut.

Selepas kejayaan itu, namanya terus melonjak naik dan menjadi bualan ramai di serata dunia. Sehingga kini, jumlah pengikutnya di media sosial Instagram berjumlah 156 ribu orang. Idolanya, Micheal Phelps menghamburkan kata-kata pujian selepas kejayaan atlet muda itu meraih emas dalam acara kegemaran beliau. Kami kongsikan detik bersejarah khususnya buat rakyat Singapura.

4 Holly Holm Akhiri Rekod Kebal Rousey(UFC)

Bagi peminat seni bela diri campuran atau lebih dikenali sebagai mixed martial arts pasti akan mengingati perlawanan ini. Ronda Rousey tampil dengan rekod tanpa kalah turun menentang pencabar beliau Holly Holm untuk merebut kejuaraan Ufc kategori wanita. Rousey yang turun sebagai pilihan menghadapi masalah sejak pusingan pertama apabila sukar untuk melakukan serangan ke atas Holm. Holm yang bijak sesekali menyerang balas berjaya memerangkap Rousey dengan beberapa tumbukan di muka dan badan. Ini merupakan perlawanan pertama Rousey menghadapi masalah dalam melakukan serangan ke atas pihak lawannya.

Di pusingan kedua, Holm berjaya menumbangkan Rousey dengan tendangan cantik di bahagian kepala sekaligus menjadi individu yang pertama menewaskan Rousey. Selepas perlawanan itu, dalam sebuah rancangan televisyen Ellen, Rousey menyatakan beliau pernah berniat untuk membunuh diri selepas kekalahan tersebut.

Holm dalam sebuah lagi rancangan televisyen The Real Daytime kemudian membuat kenyataan balas apabila mengatakan kekalahan tidak bermakna berakhirnya sebuah kehidupan. Selepas kenyataan Rousey itu, seteru lamanya Miesha Tate pula melabelkan Rousey sebagai insan yang teruk kerana sukar menerima kekalahan sedangkan dalam kehidupan pasti ada kekalahan untuk menjadi lebih kuat.

Kini Rousey tidak beraksi di Ufc sebaliknya berada di WWE menjadi penggusti. Persoalannya adakah beliau ingin bunuh diri jika tewas di situ pula?

5. Kematian Chris Benoit(gusti)

Bagi peminat WWF, nama Chris Benoit tidak asing dalam kalangan ahli gusti. Beliau yang terkenal dengan gerakan diving headbut dan crippier crossface ini ditemui mati di rumahnya selepas dipercayai telah membunuh isteri dan anaknya. Sebelum kejadian tersebut, Benoit dilaporkan telah menghantar mesej simpanan suara kepada rakan baiknya iaitu Chavo Guerrero untuk memaklumkan bahawa beliau bakal terlepas penerbangan khas untuk menghadiri satu majlis.

Chavo kemudian menghubungi semula Benoit untuk pengesahan dan diberitahu oleh Benoit bahawa isterinya, Nancy telah mengalami keracunan makanan. Menurut Chavo, Benoit kedengaran seperti kepenatan ketika berhubung dengannya. Selepas itu, beliau gagal menghadirkan diri untuk perlawanan menentang CM Punk lalu menimbulkan kemusykilan kepada kakitangan WWE. Pihak WWE kemudian meminta Jabatan Sheriff Fayette County untuk memeriksa kediaman Benoit dan berakhir dengan penemuan mayat beliau.

Kertas siasatan oleh pihak berkuasa mendapati Nancy Benoit telah mati dicekik. Mayatnya dijumpai dalam keadaan diikat dengan kain tuala di dalam bilik mandi. Benoit dipercayai mencekik isterinya itu dari belakang dengan sebelah lututnya menekan belakang badan Nancy. Meskipun tiada sebarang kesan pergelutan dikesan, Nancy diyakini cuba melawan balik tapi segala kudratnya gagal untuk melawan Benoit.Danie Benoit pula ditemui mati terbaring di atas katil akibat dicekik oleh ayahnya sendiri.

Sementara itu, Benoit pula ditemui tergantung dalam gim. Dia menggunakan besi pengangkat berat untuk mematahkan lehernya sendiri.Beliau turut meletakkan kitab injil bersebelahan mayat isteri, anak dan dirinya sendiri. Pelbagai teori dibuat dalam kes ini seperti mengalami masalah mental, gangguan rumah tangga dan lain-lain lagi.

Laporan berita kejadian bunuh oleh Benoit. Sumber: youtube

Apabila berita kematian Benoit diumumkan secara rasmi, pihak WWE memadamkan rekod beliau dalam catatan sejarah WWE daripada kamus mereka. Malah, ahli gusti dan kakitangan lain dibawah WWE juga diharamkan menyebut nama Chris Benoit pada bila-bila masa. Oleh sebab itu, tiada perlawanan memori untuk memperingati Benoit sebagai peringatan kepada ahli gusti yang lain supaya tidak bertindak bodoh seperti Benoit.

Penutup

Banyak lagi kejutan dalam sukan yang tidak kita sangka. Siapa sangka dan siapa menduga 4 tahun lepas Brazil pernah dibelasah 1-7 di laman sendiri, Viktor Axelsen menjadi juara dunia dan banyak lagi. 5 pilihan diatas adalah pilihan peribadi penulis sahaja.

*Untuk membaca lebih lanjut tentang kes bunuh Chris Benoit, anda boleh mencari di laman sesawang Facebook bernama Mat Lester.