3 Perkara Positif Dalam Perlawanan Menentang Mongolia

0
665

Ketua jurulatih baru negara, Tan Cheng Hoe memulakan debut pertama beliau selepas mengambil alih daripada Nelo Vingada yang meletakkan jawatan tahun lalu. Walau bagaimanapun, Malaysia sekadar seri 2-2 menentang Mongolia sekaligus menyaksikan rekod tanpa kemenangan terus berlarutan. Namun di sebalik keputusan itu, terdapat beberapa perkara positif yang boleh kita ambil dalam perlawanan ini. Berikut adalah 3 perkara yang diperolehi:

1. Tiada “Gelembung Buaya”

Dalam perlawanan ini, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe memperagakan corak permainan yang baik dan menarik. Setiap pemain bertukar hantaran pendek antara satu sama lain dan pantas bergerak mengatur serangan. Kita mengambil masa 15 minit untuk settle down, hasilnya selepas itu Malaysia berjaya mencipta beberapa gerakan yang bahaya dan hampir mencipta peluang gol. Hasilnya, kita berjaya mendahului permainan hasil jaringan pertahanan negara, Fadhli Shas pada minit ke 31 berpunca daripada tendangan sudut.

Fadhli Shas menjaringkan gol pendahuluan (Sumber: FAM)

Namun begitu, kesilapan Fadhli Shas yang alpa dengan keadaan sekeliling mengundang padah apabila Mongolia berjaya menyamakan kedudukan. Kami berharap agar pemain ini dapat melupakan segera kesilapannya dan tidak mengulanginya lagi dalam sebuah perlawanan sekiranya diturunkan.

2. Gandingan Natxo-Afiq

2 pemain ini memulakan debut pertama bersama skuad kebangsaan dan keduanya begitu serasi mengemudi bahagian tengah. Apabila Natxo naik keatas membantu serangan, Afiq akan berada di belakang beliau untuk memberikan sokongan di pertahanan dan begitulah sebaliknya. Sesekali Afiq mahupun Natxo akan turun membentuk bek bertiga bagi mengalirkan bola dengan lancar.

2 gandingan yang beraksi baik di bahagian tengah (Sumber: FAM)

Satu pertaruhan yang berani daripada Tan Cheng Hoe memandangkan mereka beraksi bersama di JDT. Justeru itu, tiada masalah buat mereka untuk mencipta keserasian bersama. Gandingan ini mengingatkan kita kepada Liridon dan Amirul Hisyam yang sering mendapat kepercayaan daripada Tan Cheng Hoe sewaktu membimbing Kedah dimana Amirul akan turun membentuk bek bertiga dan mencipta gerakan di bawah. Maka, kami rumuskan bahawa Tan Cheng Hoe telah menemui gandingan di tengah yang boleh beroperasi sama seperti Liridon-Amirul.

Bagaimana Liridon dan Amirul beroperasi di tengah (Sumber: Semuanya Bola)

3. Potensi Pemain Muda

Dalam perlawanan ini, pemain muda terus menunjukkan aksi yang baik dan matang dalam permainan. Mereka kurang melakukan kesilapan individu samaada dari segi sentuhan pertama, corak hantaran dan kawalan permainan. Oleh sebab itu, netizen sering membangkitkan isu ini supaya skuad u23 negara terus diserap masuk ke skuad senior. Ini 2 pemain yang wajar diberikan pujian atas aksi mereka yang mencuri tumpuan kami:

Afiq Fazail

Sumber: goal.com

Sekali lagi pihak Sportivo memberikan kredit dan pujian kepada Afiq Fazail kerana aksinya yang cukup tenang dan bersahaja. Beliau selesa membentuk gandingan bersama Natxo Insa di bahagian tengah. Selain itu, beliau antara pemain yang beraksi 90 minit perlawana sebentar tadi.Kami berharap agar beliau diberikan minit permainan yang mencukupi untuk beliau terus maju dan berjaya dalam bola sepak.

Akhyar Rashid

Akhyar Rashid, sekali lagi mencuri tumpuan (Sumber:FAM)

Beliau masuk sebagai pemain gantian di awal separuh masa yang kedua menggantikan Mahali Jasuli. Kelincahan beliau menjadi igauan buat pertahanan Mongolia sehingga memaksa mereka melakukan kekasaran terhadap Akhyar. Beliau juga penjaring gol kedua pada minit ke 64 selepas bijak mengatasi pertahanan Mongolia sebelum melepaskan tendangan yang berjaya menerjah jaring.

Di samping itu, beliau turut terlibat dalam gerakan yang menghasilkan tendangan percuma. Namun percubaan daripada Wan Zack Haikal singgah di palang gol.

Rumusan 

Di samping kritikan hebat daripada netizen di media sosial, terdapat beberapa perkara positif yang wajar diberikan pujian. Setiap perkara pasti akan ada sesuatu yang positif untuk kita ambil dan dipertingkatkan untuk masa akan datang. Janganlah dihentam dan dicaci kerana mereka memerlukan sokongan daripada kita semua. Siapa lagi yang boleh memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan selain kita?

Kami di Sportivo juga berdukacita dengan keputusan ini kerana gagal mencatatkan kemenangan yang pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil. Tetapi kami percaya sustu hari nanti, skuad kebangsaan akan berjaya menamatkan rekod tanpa kemenangan ini.

Pemain Terbaik Pilihan Sportivo

Afiq Fazail

Walaupun pandangan peribadi sendiri merasakan bahawa Gankhuyag Ser-Od-Yanjiv adalah calon yang sesuai kerana kualiti tendangan percuma beliau yang berjaya menghasilkan jaringan, tetapi kami tetap memilih Afiq Fazail kerana pada penampilan pertama bersama skuad kebangsaan, beliau sudah menunjukkan aksi yang matang. Itulah the unsung hero Malaya!